BERITA TERKINI   RMK13 fokus tingkat pendapatan negara dan rakyat selari dengan kerangka Ekonomi MADANI - Fahmi | Alliance Bank jangka penurunan OPR baru-baru ini akan beri impak terhadap margin faedah bersihnya sebanyak 3.0 mata asas pada Tahun Kewangan 2026 - CEO Kumpulan | Alliance Bank yakin dalam berhati-hati prospek Tahun Kewangan 2026 di tengah-tengah keadaan tidak menentu - CEO Kumpulan | MSU dicabar capai 100 peratus kebolehpasaran graduan pada 2028, tawar 200 kursus TVET pada 2030 - Ahmad Zahid | Kerajaan sedia anugerah khas kepada institusi TVET capai 100 peratus kebolehpasaran graduan - Ahmad Zahid | 

Usaha Rapatkan Jurang Digital Penting Untuk Sokong Pertumbuhan Inklusif Logistik Sabah

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 22 Julai (Bernama) -- Sektor logistik dan perdagangan Sabah hanya boleh berkembang maju sekiranya usaha untuk mendigitalkan industri dipadankan dengan sokongan padu terhadap perniagaan kecil dan komuniti luar bandar, kata seorang pakar logistik serantau.

Bekas presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (CILT) Malaysia dan naib presiden CILT Antarabangsa bagi Asia Tenggara Datuk Dr Ramli Amir berkata walaupun berlaku kemajuan digital dalam infrastruktur pelabuhan dan perancangan logistik, namun banyak bahagian di Sabah masih belum terhubung secara digital.

"Kita perlu memastikan usaha pendigitalan tidak menyebabkan jurang pembangunan semakin melebar. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemain logistik luar bandar di Sabah memerlukan akses yang sama kepada alatan, platform dan sokongan untuk mengambil bahagian dalam transformasi ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Ramli berkata banyak perusahaan mikro dan perniagaan luar bandar bergelut dengan ketersambungan yang terhad, kurang kesedaran serta latihan digital yang tidak mencukupi, yang menghalang mereka mendapat manfaat daripada inisiatif perdagangan berasaskan data.

Beliau mencadangkan langkah intervensi bersasar, seperti program pembinaan kapasiti, rangka kerja dasar inklusif, dan kerjasama awam-swasta sebagai langkah penting untuk melibatkan para pemain ini.

Beliau juga menggesa pelaburan yang lebih luas dalam infrastruktur digital dan pengembangan jalur lebar di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

"Transformasi digital mesti inklusif... jika hanya pemain utama yang berada di kawasan bandar yang mendapat manfaat, kita berisiko meminggirkan sebahagian besar daripada ekonomi," katanya.

Beliau berkata kedudukan strategik Sabah di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) menjadikannya berada di kedudukan terbaik untuk mendapat manfaat daripada perjanjian perdagangan serantau,.

Namun, ia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya keseluruhan rangkaian logistik negeri – termasuk laluan pengantara luar bandar, pelabuhan komuniti dan pengangkutan darat – tidak termasuk dalam perancangan peningkatan digital.

"Masa depan logistik bukan hanya digital, ia juga perlu saksama... semua orang mesti terlibat sama dalam usaha ini," kata Ramli.

-- BERNAMA