Penganalisis Unjur Kadar Inflasi Malaysia 2.0-2.2 Peratus Pada 2025
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kadar inflasi Malaysia bagi 2025 diunjur pada 2.0 peratus, disokong oleh pelaksanaan langkah pelarasan fiskal secara berperingkat dan teratur selain tekanan permintaan yang sederhana, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
Bank pelaburan itu berkata meskipun tindakan dasar domestik seperti penyasaran semula subsidi bahan api RON95, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelarasan gaji dan penstrukturan semula tarif elektrik mungkin memberi tekanan ke atas harga, kesannya secara menyeluruh dijangka terkawal.
“Purata inflasi bagi separuh pertama 2025 adalah rendah iaitu pada kadar 1.4 peratus dan dijangka meningkat kepada 2.4-2.5 peratus pada separuh kedua 2025 yang memaparkan potensi risiko peningkatan susulan faktor-faktor tindakan dasar di peringkat dalam negara.
“Bagaimanapun, kami turut melihat risiko penurunan terhadap unjuran inflasi semasa susulan kemungkinan penangguhan penyasaran subsidi RON95,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
RHB IB mengunjurkan impak langsung peluasan SST ke atas Indeks Harga Pengguna (IHP) adalah dalam julat 0.1-0.2 peratus tahun ke tahun bagi tahun penuh.
“Pada masa sama, kami menjangkakan impak daripada SST itu akan menular kepada peningkatan harga makanan dan kos perniagaan kepada pengguna walaupun lebih terhad,” katanya.
Bank pelaburan itu juga menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh berbaki 2025 dengan syarat pertumbuhan keluaran dalam kasar negara kekal dalam jangka panjang 4.0-5.0 peratus.
“Tekanan inflasi dijangka terkawal. Bagi mesyuarat akan datang pada September dan November, pegawai terbabit berkemungkinan besar menumpukan aspek data,” katanya.
Sementara itu, CIMB Investment Bank Bhd pula mengunjurkan IHP pada 2.2 peratus dalam 2025, disokong oleh impak pelarasan dasar yang secara relatifnya adalah terhad.
“Kami berpendapat mesyuarat dasar monetari pada November itu penting susulan dua perkara penting iaitu pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober dan ketersediaan data makro yang lebih positif.
“Ini seperti angka perdagangan luar Malaysia bagi Ogos dan September selepas aktiviti penghantaran awal barangan selain anggaran awal KDNK bagi suku ketiga 2025,” katanya.
Sehubungan itu, CIMB Investment menjangkakan OPR kekal pada paras 2.75 peratus bagi tempoh sehingga akhir 2025.
-- BERNAMA