BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Pembinaan, Penjagaan Kesihatan, O&G Antara Sektor Catat Prestasi Positif Pada Suku Kedua 2025 - Maybank IB

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Walaupun kebanyakan sektor dijangka mencatatkan pendapatan mendatar pada suku kedua 2025, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangka momentum positif dalam sektor pembinaan, penjagaan kesihatan, hartanah, minyak dan gas (O&G) serta utiliti.

“Data makro yang dikeluarkan setakat tahun ini menunjukkan faktor domestik, iaitu perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan dan kitaran pelaburan yang mampan, mengimbangi cabaran luar.

“Musim keputusan kewangan bagi suku kedua 2025 baru sahaja bermula dan kami menjangka suku tahun yang lebih seimbang selepas suku pertama yang kurang menggalakkan,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam sektor pembinaan, Maybank IB berkata suku pertama 2025 perlahan disebabkan impak berganda daripada sambutan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan, yang kedua-duanya jatuh pada suku tahun tersebut.

“Pada suku kedua 2025, kami menjangka kerja-kerja pembinaan dan seterusnya, bil kemajuan akan meningkat. Ini akan membawa kepada peningkatan pendapatan dan keuntungan yang diiktiraf pada suku kedua 2025,” katanya.

Bank pelaburan itu turut menjangka peningkatan semula dalam sektor penjagaan kesihatan dan hartanah berikutan prestasi lemah secara bermusim pada suku pertama 2025.

Bagi O&G, Maybank IB berkata pendapatan syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas pada suku kedua 2025 dijangka meningkat suku ke suku berikutan sektor itu telah melepasi musim tengkujuh tahunan yang lazimnya menjejaskan suku keempat dan suku pertama.

-- BERNAMA