CGC Tingkat Ciri Pembiayaan Skim BizJamin MTC, BizJamin-i MTC Sokong Syarikat Pertengahan
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) telah menambah baik ciri pembiayaan di bawah skim BizJamin MTC dan BizJamin-i MTC yang kini membolehkan syarikat pertengahan (MTC) memohon pinjaman berjumlah RM1 juta hingga RM5 juta.
Ketua Pegawai Perniagaan Sean Tan berkata peningkatan itu selaras dengan komitmen CGC untuk meneruskan penambahbaikan selain memenuhi permintaan rakan perbankannya.
“Usaha ini menyediakan pembiayaan jangka pendek dengan pemprosesan lebih cepat bagi memperoleh kemudahan pembiayaan tanpa cagaran atau pembiayaan berasaskan projek,” katanya ketika berucap pada Forum Momentum Perniagaan Peringkat Pertengahan CGC 2025 di sini pada Selasa.
Tan berkata ciri baharu itu diperkenalkan pada waktu yang tepat ketika syarikat (MTC) berdepan ketidaktentuan global yang kian ketara.
Ini termasuk potensi pengenaan tarif 25 peratus oleh Amerika Syarikat ke atas eksport Malaysia yang dijangka bermula pada 1 Ogos yang menambah tekanan, khususnya kepada sektor elektronik, jentera, getah dan minyak sawit yang menjadi tumpuan pelbagai MTC.
“Walaupun Malaysia berkemungkinan mendapat manfaat daripada beberapa lencongan perdagangan berikutan kadar tarif lebih rendah berbanding negara lain, permintaan global sebaliknya dijangka lebih perlahan.
“Jumlah pesanan eksport lebih rendah boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran yang seterusnya menjejaskan pekerjaan, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah - terutama sektor berorientasikan eksport,” katanya.
Tan berkata syarikat juga berkemungkinan perlu menangguhkan pelaburan akibat kebimbangan terhadap keuntungan serta ketidaktentuan pasaran yang berterusan.
Bagi MTC, katanya, keadaan sedemikian menyumbang kepada peningkatan risiko kewangan dan tekanan terhadap komuniti perniagaan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan skim jaminan kredit seperti BizJamin-i MTC itu sebagai tidak hanya tepat pada masanya, malah penting kerana menyediakan penampan kewangan dalam mengurus aliran tunai, membina ketahanan dan meneroka pasaran baharu.
Skim BizJamin-i MTC yang dilancarkan pada Februari lepas, dirangka bagi menangani jurang pembiayaan dialami MTC -- syarikat yang terlalu besar bagi skim perusahaan kecil dan sederhana namun tidak mempunyai kelayakan dari segi nilai ambang perbankan korporat.
Menurut Tan, skim berkenaan menawarkan liputan jaminan sehingga 80 peratus dengan jumlah jaminan pembiayaan mencecah RM20 juta bagi setiap Syarikat dengan jumlah Had Pendedahan Kumpulan (GEL) serta had dedahan kumpulan sehingga RM60 juta.
“Ini turut menyediakan jaminan sehingga 15 tahun serta menampung pelbagai keperluan pembiayaan, termasuk modal kerja, pengambilalihan aset, kos operasi, pengubahsuaian dan pembiayaan semula.
“Skim ini telah mencatatkan momentum yang menggalakkan sejak dilancarkan, dengan 28 bank berdaftar sebagai institusi kewangan rakan kongsi. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran dan memperkukuh keupayaan supaya segmen penting ini dapat dilayani dengan lebih baik,” katanya
Forum itu mengetengahkan sesi taklimat makroekonomi oleh Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi Lee Heng Guie dan sesi perbincangan mengenai strategi pembiayaan inovatif yang disertai kalangan wakil CIMB Group Holdings Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia dan Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia .
-- BERNAMA