Langkah Sokongan Fiskal Terkini Beri Impak Positif Kepada Sektor Pengguna - CIMB Securities
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Langkah-langkah sokongan fiskal terkini yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengukuhkan sektor pengguna di Malaysia dengan menggalakkan perbelanjaan dalam tempoh jangka pendek terutamanya bagi barangan keperluan dan runcit berasaskan nilai, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Bagaimanapun, CIMB Securities mengekalkan unjuran pendapatannya tidak berubah pada masa ini, menyatakan langkah-langkah itu akan menyokong andaian pertumbuhan pendapatan sedia ada untuk saham di bawah liputannya.
“Dalam sektor pengguna, kami terus menyokong tumpuan kepada syarikat yang mendapat manfaat daripada permintaan tidak anjal bagi barangan keperluan harian dan syarikat yang berada dalam kedudukan baik akan memanfaatkan trend penurunan perbelanjaan pengguna dengan menyasarkan segmen pasaran yang besar,” katanya.
Menurut CIMB Securities, pengeluar makanan dan minuman (F&B) seperti Nestle, F&N, QL Resources dan Farm Fresh dijangka mendapat manfaat daripada permintaan yang tinggi untuk produk makanan dan minuman asas, yang kebanyakannya mungkin layak untuk pembelian menggunakan kredit RM100.
Ia berpendapat peruncit lain seperti Mr DIY (saranan ‘Beli’), Padini (Beli), Aeon (Beli), Yoong Onn (Beli), Bonia (Kekal), Berjaya Food dan SEM (Kurangkan) akan menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung dan perbelanjaan lebih tinggi setiap pelanggan apabila pendapatan boleh guna meningkat, diperkukuhkan lagi oleh penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus baru-baru ini.
Awal hari ini, Anwar mengumumkan pusingan baharu langkah-langkah sokongan fiskal bertujuan mengurangkan kos sara hidup, memacu penggunaan domestik dan meningkatkan perbelanjaan isi rumah menjelang sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia.
Langkah-langkah utama termasuklah e-kredit RM100 secara sekali sahaja melalui MyKad (skim SARA), meningkatkan peruntukan program Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta bagi 2025, cuti umum pada 15 Sept 2025 untuk menggalakkan perjalanan domestik, penangguhan kenaikan kadar tol untuk 2025 dan mengekalkan subsidi RON95 dengan harga bersubsidi dikurangkan daripada RM2.50 seliter kepada RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia.
-- BERNAMA