Prospek Raih Tender, CGS International Kekalkan Saranan Positif Terhadap Malakoff

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd mengekalkan saranan positif terhadap Malakoff Corporation Bhd, didorong oleh kedudukan kukuhnya untuk meraih tender  Suruhanjaya Tenaga (ST) di tengah-tengah peningkatan permintaan tenaga.

Prospek itu juga dipacu oleh keperluan mendadak dan segera bagi memastikan jaminan bekalan tenaga serta margin rizab yang kukuh.

Firma pembrokeran itu berkata faktor sokongan lain adalah rekod prestasi Malakoff dalam pembangunan dan operasi terma, disokong oleh kesediaannya dari segi perancangan, lokasi dan aset.

“Kami menjangkakan peluasan kemudahannya mampu menjana keuntungan bersih tahunan sekurang-kurangnya RM40 juta mulai 2026,” katanya menerusi nota tinjauannya hari ini.

Pada masa sama, CGS International berkata usaha itu akan disokong oleh projek mini hidro bernilai RM950 juta dan loji jana kuasa sisa kepada tenaga (WTE) bernilai RM660 juta yang diunjurkan menyumbang gabungan keuntungan bersih tahunan sebanyak RM35 juta.

Menurutnya, prospek kejayaan projek loji janakuasa gas hijau berkapasiti 1.4 gigawatt pula dapat menambah sekurang-kurangnya RM200 juta dari segi keuntungan bersih tahunan berulang dan nilai ekuiti RM1 bilion atau bersamaan 20 sen sesaham sebagaimana berdasarkan pengiraan kasarnya.

Secara menyeluruh, projek-projek ini memaparkan ketampakan pendapatan kukuh, disokong oleh perjanjian pembelian tenaga (PPA) dan konsesi jangka panjang.

Walaupun harga saham Malakoff melantun daripada penyusutannya sebelum ini, CGS International menjangkakan potensi kenaikan seterusnya, dipacu oleh aset-aset termasuk mini hidro dan loji jana kuasa WTE, pegangannya dalam E-Idaman serta prospek lanjutan PPA bagi loji GB3, Prai Power dan Segari.

“Kami juga menjangkakan Malakoff muncul sebagai pembida kukuh bagi kontrak loji jana kuasa berasaskan gas,” katanya.

Pada 10 Mei 2025, ST telah membuka cadangan bagi kapasiti penjanaan gas baharu di Semenanjung Malaysia melalui bidaan kompetitif yang merangkumi dua kategori iaitu peluasan loji jana kuasa sedia ada dan  pembangunan baharu.

Malakoff juga telah mengemukakan permohonan untuk melanjutkan PPA bagi tiga loji jana kuasa gas miliknya iaitu GB3 berkapasiti 640 megawatt (MW), Prai Power (350 MW) dan Segari (1,303 MW) sehingga 2029 selain berhasrat menyertai bidaan di bawah Kategori 2.

CGS International mengekalkan saranan “tambah” untuk saham Malakoff dengan harga sasaran RM1.20 sesaham bersandarkan andaian konservatif satu kejayaan usaha sama.

-- BERNAMA