BERITA TERKINI   Malaysia cadang Thailand, Kemboja guna mekanisma Jawatankuasa Am Sempadan selesaikan pertelingkahan diplomatik - Mohamad Hasan | PM Anwar akan terus berhubung dengan Pemangku PM Thailand dan PM Kemboja bagi mencadang proses damai libat kedua-dua negara | Permohonan sertai bidang TVET meningkat daripada 25,000 kepada 229,000 pemohon dalam tempoh dua tahun -- TPM Ahmad Zahid | PM Anwar seru ahli Parlimen berbahas di Parlimen dengan beradab dan sopan tanpa perlu menghina atau maki hamun | KKM akan laksana pengisian 4,352 jawatan sektor kesihatan secara 'fast track' - Dzulkefly | 

Festival Flora Borneo 2025 Dijangka Jana Lebih RM20 Juta Sebagai Penggalak Ekonomi Labuan

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 25 Julai (Bernama) -- Festival Flora Borneo (BFF) 2025 yang akan bermula secara rasmi esok, memperlihatkan kesan limpahan ekonomi yang ketara di seluruh Labuan dengan kehadiran ribuan pengunjung di festival lima hari itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata skala penganjuran acara berkenaan telah mendorong penglibatan aktif penduduk tempatan yang memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti di seluruh pulau itu.

“Kita menyaksikan ketibaan ramai pengunjung ke Labuan, dan ini telah mula memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha hotel, restoran, operator inap desa malah pemilik rumah yang kini menjadikan rumah mereka sebagai tempat penginapan sementara berikutan permintaan yang luar biasa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan akhir BFF yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Julai ini di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Dr Zaliha berkata unjuran awal menunjukkan peniaga dan pengusaha perniagaan dijangka menjana pendapatan lebih RM20 juta, didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap barangan, perkhidmatan, dan penginapan sepanjang acara itu berlangsung.

“Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung akan hadir sepanjang lima hari BFF berlangsung dan setiap pengunjung dijangka membelanjakan secara purata RM400 sepanjang berada di sini,” kata beliau.

 BFF yang diadakan di tengah-tengah bandar Labuan ini mengetengahkan pameran bunga, persembahan kebudayaan dan pameran kraf tradisional serta penyertaan daripada agensi kerajaan tempatan dan serantau, termasuk wakil dari Kalimantan, Indonesia dan orang kenamaan dari Sabah dan Sarawak.

 Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berkenan merasmikan majlis pembukaan BFF.

Dr Zaliha juga memuji usaha bersepadu Perbadanan Labuan, Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya serta organisasi komuniti dalam memastikan Labuan bersedia menerima lonjakan pengunjung.

“Ini bukan sekadar acara pelancongan. Ia adalah pemacu ekonomi utama yang mewujudkan peluang pendapatan meliputi pelbagai sektor daripada logistik, hospitaliti dan bekalan makanan sehingga pengangkutan dan perusahaan budaya,” kata Dr Zaliha.

Festival ini adalah sebahagian daripada inisiatif Wilayah Persekutuan untuk memperkukuh identiti Labuan sebagai hab pelancongan dan budaya, dengan hasrat untuk memperluas penganjuran acara berskala besar pada masa hadapan bagi merangsang ekonomi pulau ini.

Pihak berkepentingan tempatan turut melaporkan terdapat peningkatan dari segi prapesanan dan tempahan bagi produk makanan tradisional, cenderahati berasaskan bunga, pengangkutan bot dan perkhidmatan ulang-alik persendirian.

“Ini adalah rangsangan yang tepat pada masanya terhadap ekosistem ekonomi Labuan berikutan penglibatan masyarakat seperti pemilik rumah yang mengubah suai rumah kepada inap desa sementara selain peniaga kecil yang menambah stok mereka, menunjukkan manfaat terangkum festival ini,” katanya.

-- BERNAMA