Bursa Malaysia Ditutup Rendah Ketika Pelabur Tumpu Hasil Rundingan Tarif AS, Dasar

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan lebih rendah selepas kenaikan dalam dua sesi berturut-turut ketika pelabur bertindak mengambil untung selain berpendirian tunggu dan lihat di tengah-tengah rundingan berterusan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) bagi mencapai kadar tarif 20 peratus.

Pada 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.56 mata atau 0.43 peratus ke paras 1,533.76 berbanding 1,540.32 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.66 mata kepada 1,538.66 dan bergerak dalam julat 1,525.98 hingga 1,539.82 sepanjang sesi dagangan ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 601 berbanding 356 manakala 479 kaunter lain tidak berubah, 1,090 tidak diniagakan dan 44 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 2.86 bilion bernilai RM2.16 bilion daripada 2.97 bilion saham bernilai RM2.3 bilion, semalam.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ketiadaan perjanjian perdagangan domestik itu setakat ini, menyebabkan FBM KLCI dilihat sebagai ketinggalan sedikit daripada aliran risiko global.

“Bagaimanapun, minggu depan berkemungkinan memberi sedikit harapan, terutama jika Malaysia berjaya mencapai perjanjian perdagangan yang bermanfaat dengan AS.

“Faktor pendorong lain adalah sekiranya pertemuan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent, dengan pegawai China di Stockholm dapat membuahkan hasil sama ada dengan melanjutkan lagi tempoh pelepasan tarif atau mewujudkan rangka kerjasama lebih kukuh," katanya kepada Bernama.

Kalangan negara jiran Asia Tenggara telah mencapai persetujuan dengan AS bagi pengurangan tarif, termasuk eksport Indonesia ke AS yang dikenakan tarif sebanyak 19 peratus manakala Vietnam 20 peratus untuk barangan umum dan 40 peratus bagi barangan yang dihantar semula melalui negara itu.

Dalam pada itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata prestasi FBM KLCI yang ditutup rendah itu adalah seiring dengan aktiviti jualan di peringkat serantau.

“Pasaran di sekitar Asia ditutup rendah ketika pelabur lebih berhati-hati, aktiviti pengambilan untung menjelang minggu penting dengan agenda termasuk tempoh akhir tarif AS yang ditetapkan oleh Presiden Donald Trump serta pelbagai keputusan dasar monetari.

“Sewaktu melawat bank pusat itu baru-baru ini, Trump secara terbuka menggesa Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell untuk melonggarkan dasar monetari walaupun pada masa sama tidak pula membangkitkan mengenai hasrat memecat Powell - ugutan yang dilontarkannya sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Indeks Hang Seng di Hong Kong turun 1.09 peratus kepada 25,388.35, Indeks Straits Times Singapura susut  0.40 peratus kepada 4,255.81, Indeks Nikkei 225 Jepun menguncup 0.88 peratus kepada 41,456.23 namun Kospi Korea Selatan naik 0.18 peratus kepada 3,196.05.

Saham wajaran tinggi Maybank susut sembilan sen kepada RM9.54, Public Bank turun dua sen kepada RM4.29, Tenaga Nasional rugi 34 sen kepada RM13.60 manakala CIMB naik lima sen kepada RM6.75.

IHH Healthcare, CelcomDigi dan Press Metal pula masing-masing meraih satu sen kepada RM6.66, RM3.84 dan RM5.34.

Bagi saham paling aktif, NexG naik satu sen kepada 52.5 sen, Focus Dynamics dan Tanco tidak berubah masing-masing pada satu sen dan 91.5 sen manakala Zetrix rugi setengah sen kepada 91 sen.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas berkurangan 44.35 mata kepada 11,506.82, Indeks FBMT 100 menguncup 44.84 mata kepada 11,269.72 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 51.98 mata kepada 11,528.98.

Indeks FBM 70 pula susut 51.3 mata kepada 16,607.57 manakala Indeks FBM ACE turun 3.49 mata kepada 4,639.02.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 51.35 mata kepada 17,454.23, Indeks Perladangan susut 35.17 mata kepada 7,434.79, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.02 mata kepada 157.14 namun Indeks Tenaga naik 1.17 mata kepada 739.85.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 1.26 bilion unit bernilai RM1.85 bilion daripada 1.37 bilion unit bernilai RM1.96 bilion.

Jumlah waran meningkat kepada 1.28 bilion unit bernilai RM218.03 juta daripada 1.24 bilion unit bernilai RM207.50 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya susut kepada 313.89 juta unit bernilai RM90.97 juta daripada 362.14 juta unit bernilai RM131.90 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 163.12 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (213.56 juta), pembinaan (83.51 juta), teknologi (255.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (50.41 juta), hartanah (159.15 juta), perladangan (8.76 juta), amanah pelaburan hartanah atau REIT (25.50 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (99.34 juta), penjagaan kesihatan (51.90 juta), telekomunikasi dan media (57.85 juta), pengangkutan dan logistik (49.49 juta), utiliti (45.23 juta) dan amanah perniagaan (26,700).

-- BERNAMA