Pasaran Getah Diniagakan Berhati-hati Tetapi Cenderung Menaik Minggu Hadapan
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu hadapan tetapi cenderung untuk naik berikutan pelbagai ketidakpastian dan ketidakstabilan dalam pasaran.
Pakar industri Denis Low berkata bekalan getah menjadi semakin kritikal memandangkan tarikh akhir pematuhan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) adalah Disember 2025.
"Oleh itu, banyak peniaga serta pengeluar bergegas untuk menghasilkan dan menghantar produk mereka sebelum peraturan itu berkuatkuasa. Ia akan meningkatkan permintaan dengan ketara selain mengakibatkan kekurangan bekalan serta peningkatan harga disebabkan oleh lonjakan secara tiba-tiba.
"Sementara itu, tarif baharu mungkin akan memacu aktiviti perdagangan disebabkan banyak sektor, terutamanya komoditi, semakin terdesak bagi menambah bekalan semasa dalam usaha mengelakkan kos yang lebih tinggi kemudian," katanya kepada Bernama.
Low menekankan bahawa cuaca panas di Malaysia dijangka berterusan sehingga penghujung bulan ini, manakala Jabatan Meteorologi Thailand telah meramalkan hujan lebat dan angin kencang di seluruh negara.
"Satu lagi ketidakstabilan utama yang berlaku di pasaran adalah turun naik kadar pertukaran.
"Kami melihat perubahan besar dalam dolar US berbanding mata wang lain di seluruh dunia, dan ini tidak kondusif untuk pasaran," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyatakan bahawa walaupun pasaran getah dijangka meneruskan aliran menaik minggu depan, masih terdapat cabaran yang timbul susulan ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan perdagangan yang berterusan dan penurunan dalam unjuran pertumbuhan serantau.
“Kami juga sedang memantau hasil rundingan perdagangan negara serta mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat pada minggu hadapan bagi mempertimbangkan impak perubahan dasar yang berpotensi di samping ketidaktentuan perdagangan yang berterusan.
“Harga dijangka terus menjejaki prestasi niaga hadapan getah global, kekuatan ringgit berbanding dolar US dan penanda aras harga minyak mentah,” kata MARGMA dalam satu kenyataan.
Dari minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 meningkat sebanyak 18 sen kepada 754 sen sekilogram berbanding 736 sen sekilogram yang dicatatkan pada minggu sebelum ini, manakala lateks pukal naik sebanyak 7.5 sen kepada 579 sen sekilogram daripada 571.50 sen.
-- BERNAMA