Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Susulan Permintaan Kukuh Terhadap Dolar AS
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan peralihan kedudukan pelabur di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Mata wang AS melonjak susulan permintaan tinggi selepas pasaran memberi reaksi terhadap konflik berterusan di rantau itu berikutan laporan rundingan di antara AS dengan Iran gagal mencapai kata putus pada hujung minggu lepas.
Rundingan di antara kedua-dua negara dilaporkan gagal mencapai kata putus di Islamabad, Pakistan pada Ahad meskipun setelah berbincang selama beberapa jam.
Susulan kegagalan itu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelaksanaan sekatan di Selat Hormuz yang dijangka bermula pada 10 malam ini (waktu Malaysia).
Sewaktu berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent melonjak 7.18 peratus kepada US$102.04 setong. (US$1 = RM3.97)
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta April 2026 turun kepada US$4,738.40 setiap auns troy daripada US$4,768.20 setiap auns troy ketika ditutup pada Jumaat lepas manakala kontrak Mei 2026 merosot kepada US$4,756.90 setiap auns troy daripada US$4,788.70 setiap auns troy sebelumnya.
Kontrak Jun, Julai dan Ogos 2026 juga ditutup lebih rendah pada US$4,775.40 setiap auns troy, susut daripada US$4,807.30 setiap auns troy pada hujung minggu lepas.
Jumlah dagangan berkurang kepada lapan lot daripada 29 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka menurun kepada 78 kontrak daripada 95 kontrak sebelumnya.
Emas fizikal ditetapkan pada US$4,773.75 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 10 April, 2026.
-- BERNAMA