BERITA TERKINI   Kemajuan Malaysia di bawah kerangka MADANI perlu dipacu teknologi, berteraskan nilai moral yang kukuh - Anwar | PM Anwar dijangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya - PMO | PM Anwar jangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya | GRS akan terus sokong Kerajaan MADANI, banyak tuntutan Sabah dalam MA63 dilulus dan direalisasikan - Hajiji | Semua MRSM diisytiharkan cuti esok sempena kejayaan juarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025 - Pengerusi MARA | 

MCBA Minta Komuniti Perniagaan Malaysia Di Kemboja Bertenang Susulan Konflik Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Persatuan Perniagaan Malaysia-Kemboja (MCBA) menggesa komuniti perniagaan Malaysia yang beroperasi di Kemboja supaya bertenang dan mengambil langkah proaktif susulan ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand.

Presiden MCBA Datuk Seri Ricky Yaw berkata persatuan itu kekal komited untuk menyokong ahlinya dengan maklumat dan panduan tepat dari semasa ke semasa bagi memastikan kesinambungan perniagaan dan kestabilan operasi.

“Pembangunan perniagaan Malaysia yang lama bertapak di Kemboja dibina atas kepercayaan bersama, kestabilan dan kerjasama serantau.

“Berikutan ketegangan di sempadan, kami menggesa komuniti perniagaan untuk bertenang, rasional dan proaktif, pada masa sama mengukuhkan akses maklumat dan melakukan persediaan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua negara jiran di Asia Tenggara itu sudah lama berselisih faham mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditentukan dengan jelas, ia terus memburukkan hubungan diplomatik antara Kemboja dan Thailand.

Yaw berkata MCBA sentiasa bekerjasama dengan ahlinya dan akan terus bertindak sebagai tulang belakang boleh dipercayai untuk perniagaan yang beroperasi di rantau tersebut.

“Kami yakin dengan komunikasi dan kerjasama yang berterusan, kerjasama kukuh antara Malaysia dan Kemboja akan terus berkembang, banyak peluang tersedia pada masa depan,” katanya.

Persatuan itu juga meneruskan komitmennya untuk menganjurkan dialog, memastikan syarikat ahli mendapat maklumat terkini dan mengukuhkan keyakinan pelabur di Kemboja sebagai pasaran yang baharu.

MCBA telah menggariskan beberapa inisiatif utama untuk menyokong perniagaan Malaysia, ia termasuk menggalakkan kestabilan serantau menerusi dialog, mengaktifkan mekanisme sokongan maklumat, menasihati perusahaan untuk mengukuhkan tahap kesediaan dan saluran komunikasi serta mengukuhkan keyakinan terhadap prospek pelaburan Kemboja.

“MCBA yakin asas Kemboja sebagai pasaran baharu kekal kukuh dan potensi pembangunannya adalah luas, ia menggalakkan komuniti perniagaan untuk terus menilai peluang pelaburan, pada masa sama mengutamakan keselamatan,” katanya.

-- BERNAMA