Semakan Unjuran Pertumbuhan KDNK Cerminkan Realiti Ekonomi Malaysia - Ahli Ekonomi
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Semakan terhadap unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah jangkaan yang realistik dan seiring dengan potensi pertumbuhan asas ekonomi negara, kata ahli ekonomi Profesor Geoffrey Williams.
BNM menyemak unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2025 kepada 4.0 peratus hingga 4.8 peratus daripada unjuran awal 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Menerusi kenyataan hari ini, bank pusat menjelaskan unjuran pertumbuhan terkini itu mengambil kira senario tarif yang pelbagai, merangkumi senario kemungkinan kenaikan tarif yang berterusan serta hasil rundingan perdagangan yang lebih menggalakkan.
Williams berkata semakan terhadap unjuran tersebut dibuat susulan ketidaktentuan berkenaan tarif yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat.
“Bagaimanapun, daripada perspektif domestik, permintaan dalam negara kekal kukuh dan dijangka meraih manfaat daripada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang lebih rendah serta pemberian tunai sekali sahaja sebanyak RM100 kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas, yang merupakan sebahagian daripada beberapa langkah ekonomi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walaupun jumlah perdagangan dan eksport Malaysia kukuh namun, perdagangan bersih adalah lebih penting bagi pertumbuhan. Perdagangan bersih kini mengalami tekanan ekoran pembelian awal dan turun naik ketara akibat rundingan tarif yang tertangguh,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Williams berkata penurunan unjuran pertumbuhan itu sememangnya telah dijangkakan dan dibincangkan secara meluas.
Unjuran utama kini pada sekitar 4.5 peratus, lebih rendah daripada julat unjuran sebelum ini antara 4.5 hingga 5.5 peratus, katanya.
“Unjuran asal agak optimistik, walaupun dalam keadaan normal, tanpa risiko negatif yang timbul daripada rundingan tarif. Tiada kebimbangan besar terhadap potensi pertumbuhan, kecuali kesan langsung daripada tarif terhadap Malaysia dan pasaran serantau utama,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kesan semakan unjuran KDNK itu terhadap penciptaan pekerjaan, perbelanjaan isi rumah dan keyakinan pelabur, Williams menjangkakan kadar pengangguran kekal rendah, penciptaan pekerjaan diteruskan seperti biasa dan keyakinan pelabur kekal tidak akan terjejas secara ketara.
Beliau berkata penting untuk Malaysia mencapai perjanjian tarif yang menggalakkan untuk kekal berdaya saing dengan negara lain seperti Vietnam dan Indonesia susulan ketidaktentuan global dan dasar perdagangan yang sentiasa berubah.
Williams berkata penurunan OPR akan membantu mengekalkan pertumbuhan dalam lingkungan unjuran yang disemak itu, dan tiada keperluan untuk penurunan seterusnya.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melaporkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, terus menurun 4.2 peratus tahun ke tahun pada Jun 2025, selepas susut 3.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua sektor mencatatkan penurunan tahun ke tahun pada bulan lepas, dengan sektor perlombongan dan pembuatan menjadi penyumbang utama kepada trend negatif bagi keseluruhan indeks.
Williams berkata penurunan IHPR itu sejajar dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang rendah dan mencerminkan keadaan waspada terhadap harga akibat ketegangan perdagangan, harga minyak yang rendah serta pengukuhan ringgit.
“IHPR yang rendah dijangka ditunjukkan menerusi inflasi yang lebih rendah sepanjang tahun bagi semua sektor. Ini turut menjelaskan unjuran inflasi yang lebih rendah,” katanya.
Williams berkata walaupun IHP yang rendah mencerminkan ketegangan perdagangan dan keadaan pasaran yang hambar bagi perniagaan, IHP yang rendah juga memberi manfaat kepada pengguna.
“Perniagaan kekal kompetitif dengan penyederhanaan harga pengeluar, jadi tiada keperluan untuk kerajaan campur tangan dalam pasaran,” katanya.
-- BERNAMA