BERITA TERKINI   Malaysia, Australia tegaskan semula komitmen untuk memastikan bekalan tenaga stabil dan berdaya tahan - PM Anwar  | Malaysia dan Australia sokong seruan Paus Leo untuk keamanan serta gesa diadakan dialog bagi menamatkan konflik global | Malaysia, Australia setuju perkukuh kerjasama teknikal antara Petronas dan pihak berkaitan Australia bagi pastikan kestabilan bekalan tenaga - PM Anwar | Malaysia kekal teguh pendirian terhadap Palestin, hargai sokongan Australia terhadap bantuan kemanusiaan serta usaha penyelesaian secara aman - PM Anwar | Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | 

Malaysia Pamer Kepimpinan ASEAN Dalam Pertumbuhan Digital, Keamanan Serantau - Teo 

PETALING JAYA, 29 Julai (Bernama) -- Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia bukan sahaja mengambil langkah berani dalam bidang digital sebaliknya mempamerkan kepimpinan diplomatik yang berkesan dalam keamanan dan kestabilan serantau, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata satu pencapaian penting bagi Malaysia apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi perantara dalam perjanjian damai di antara Thailand dengan Kemboja berhubung pertikaian sempadan yang membawa kepada gencatan senjata serta-merta selain tanpa syarat.

“Pencapaian ini mengukuhkan komitmen Malaysia kepada keutamaan ASEAN dalam membantu perdagangan dan inovasi dengan memastikan Asia Tenggara kekal sebagai zon keamanan, kebebasan dan berkecuali.

"Ia juga mencerminkan jenis kepimpinan yang ingin kita bawa ke hadapan iaitu kepimpinan yang menggabungkan kemajuan teknologi dan solidariti serantau dengan pengiktirafan iaitu kejiranan yang stabil penting untuk kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pertukaran Kerjasama Teknologi & Perdagangan Malaysia-China 2025 di sini hari ini.

Dengan kemajuan pesat teknologi digital dan perubahan industri global, Teo menekankan iaitu Malaysia kekal komited bagi memastikan ekosistem komunikasi dan multimedia yang selamat, cekap selain inovatif melalui penguatkuasaan peraturan serta piawaian teknikal di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di bawah akta ini, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memperkenalkan piawaian teknikal bagi memastikan semua peralatan komunikasi dan perkhidmatan digital di negara ini mematuhi tahap keselamatan, kebolehoperasian dan kebolehpercayaan yang tinggi.

“Pendekatan ini bukan sahaja melindungi kepentingan pengguna dan infrastruktur rangkaian negara, malah memastikan infrastruktur serta perkhidmatan digital negara sejajar dengan penanda aras antarabangsa,” katanya.

Ramssol Group Bhd (Ramssol) dengan kerjasama Equinix dan Tencent Cloud menganjurkan persidangan hari ini bagi memperkenalkan penyelesaian terkini berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan awan daripada Tencent Cloud kepada pasaran Malaysia, melalui anak syarikatnya Rams Solutions.

Ramssol dalam satu kenyataan berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membantu syarikat korporat tempatan dan perniagaan runcit bagi mengintegrasikan teknologi AI serta awan canggih dari China sekali gus meningkatkan kecekapan operasi serta membolehkan pengalaman pelanggan dipacu data.

-- BERNAMA