Bursa Malaysia Ditutup Pada Paras Terendah Intra Hari
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah intra harinya pada Selasa susulan jualan lewat ketika para pelabur menunggu pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada Khamis.
Selain itu, para pelabur juga turut menunggu pemangkin baharu daripada hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan pada 29-30 Julai, di tengah-tengah perbincangan perdagangan AS-China yang sedang berlangsung di Stockholm.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.56 mata, atau 0.36 peratus, untuk ditutup kepada 1,523.82 daripada paras penutup 1,529.38 pada Isnin.
Petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 0.20 mata kepada 1,529.58 dan kemudiannya mencecah paras tertingginya pada 1,537.62 pada dagangan awal sebelum menyusut semula pada tempoh berbaki dagangan hari ini.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 603 berbanding 365, manakala 506 kaunter tidak berubah, 1,047 tidak diniagakan dan 44 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.36 bilion unit bernilai RM2.18 bilion daripada 3.0 bilion saham bernilai RM2.30 bilion pada Isnin.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, para pelabur nampaknya bersiap sedia dengan dengan portfolio/strategi mereka terutamanya jika keadaan perdagangan luar semakin merosot.
"RMK-13, yang akan dibentangkan di Parlimen pada Khamis di bawah rangka kerja MADANI, akan mengukuhkan trajektori pro-pertumbuhan kerajaan, dengan tumpuan utama terhadap pembangunan infrastruktur dan perindustrian," katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata, FBM KLCI ditutup rendah hari ini apabila sentimen menjadi semakin berhati-hati menjelang beberapa pengumuman dasar global yang penting.
Beliau berkata tumpuan pasaran kini beralih kepada mesyuarat FOMC kerana Rizab Persekutuan (Fed) dijangka mengekalkan kadarnya tidak berubah, dan kenyataan daripada jawatankuasa itu akan dipantau rapat.
Selain itu, katanya, isyarat positif daripada rundingan perdagangan AS-China di Stockholm akan terus merangsang sentimen pasaran.
“Pertemuan antara Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dan Naib Perdana Menteri China He Lifeng yang memfokuskan kepada menangani ketidakseimbangan ekonomi global, dilihat sebagai satu langkah membina menjelang tarikh akhir tarif pada 1 Ogos yang akan dapat membantu mengurangkan premium risiko geopolitik,” katanya.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan indeks tempatan kekal diniagakan dalam berhati-hati apabila ketidaktentuan luaran dan aliran dana yang tidak konsisten terus menjejaskan sentimen.
"Dengan kebimbangan berterusan terhadap perkembangan perdagangan global, peralihan dasar monetari dan aliran keluar dana asing, keseluruhan prospek masih kekal lemah. Oleh itu, kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI kami pada 1,510-1,540," kata Thong.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi Maybank susut dua sen kepada RM9.52, Public Bank dan Tenaga Nasional turun empat sen setiap satu masing-masing kepada RM4.21 dan RM13.32, CIMB berkurangan 11 sen kepada RM6.64 dan IHH Healthcare menyusut enam sen kepada RM6.60.
Dalam kalangan saham paling cergas, ACE Oxford Innotech yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE naik 9.5 sen kepada 38.5 sen, Zetrix AI meningkat satu sen kepada 84.5 sen, NexG tidak berubah pada 53 sen, manakala Focus Dynamics turun setengah sen kepada setengah sen dan Ekovest susut 3.5 sen kepada 40.5 sen.
Dalam kalangan kaunter untung dan rugi utama , Allianz Malaysia menokok 40 sen kepada RM17.70, Petronas Dagangan meningkat 26 sen kepada RM21.70 manakala Petronas Chemicals naik 18 sen kepada RM3.79.
Kaunter paling rugi adalah Panasonic Manufacturing yang susut 36 sen kepada RM10.52 manakala Kuala Lumpur Kepong turun 28 sen kepada RM19.52.
Indeks FBM Emas turun 32.07 mata kepada 11,440.13, Indeks FBMT 100 susut 30.92 mata kepada 11,201.53, dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan1 1.95 mata kepada 11,478.09.
Indeks FBM 70 susut 2.20 mata kepada 16,528.21 dan Indeks FBM ACE turun 9.98 mata kepada 4,626.62
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.99 mata kepada 159.38, Indeks Tenaga naik 2.93 mata kepada 743.72, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 99.03 mata kepada 17,309.34 dan Indeks Perladangan berkurangan 68.20 mata kepada 7,395.03.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.48 bilion unit bernilai RM1.87 bilion daripada 1.67 bilion unit bernilai RM2.03 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.10 bilion unit bernilai RM183.90 juta daripada 1.01 bilion unit bernilai RM161.01 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 772.91 juta unit bernilai RM121.40 juta daripada 323.13 juta unit bernilai RM106.95 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 213.86 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (240.50 juta), pembinaan (165.43 juta), teknologi (252.46 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (69.21 juta), hartanah (156.13 juta), perladangan (12.33 juta), REITs (28.54 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (95.71 juta), penjagaan kesihatan (134.24 juta), telekomunikasi dan media (30.26 juta), pengangkutan dan logistik (44.63 juta), utiliti (40.60 juta) dan amanah perniagaan (242,800).
-- BERNAMA