BERITA TERKINI   FGV akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia bermula 28 Ogos ini - PM Anwar | PM Anwar tegaskan sebarang keuntungan syarikat berkaitan Felda termasuk FGV mesti disalurkan semula kepada peneroka, bukan semata-mata untuk kepentingan korporat | PM Anwar harap FGV kembali kepada matlamat asal penubuhannya, beri keutamaan kepada hak dan hasil peneroka Felda | Menteri Pertahanan Thailand, Kemboja adakan perundingan di Kuala Lumpur Isnin ini - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM100,000 kepada setiap kampung di Felda untuk bangunkan projek pilihan di kawasan masing-masing | 

Pengambilalihan FGV Sebagai Langkah Konsolidasi - Pengerusi Felda

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Pengambilalihan FGV Holdings Bhd (FGV) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merupakan satu langkah konsolidasi bagi memperkukuh operasinya pada masa akan datang. 

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabeery Cheek berkata struktur Felda akan diseragamkan kembali bersama FGV supaya tidak ada pertindihan operasi pada masa akan datang. 

“Sebagai contoh, dalam operasi Felda dan FGV, ada jabatan hospitaliti dan koperasi mereka sendiri, dan ada ketua pegawai eksekutif (CEO) mereka. Apakah perlu setiap satu itu ada CEO atau perlu satu CEO untuk semua.

“Ini peluang untuk kita menyusun balik serta menstruktur kembali Felda dan FGV tanpa terikat dengan peraturan Bursa. Kita melihat ini sebagai satu langkah penting untuk membuka jalan kepada Felda menuju ke arah yang lebih baik lagi selepas ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Felda telah berjaya mencapai pemilikan melebihi 90 peratus saham dalam FGV melalui tawaran pengambilalihan sukarela yang sedang berlangsung.

Pengambilalihan saham FGV ini bukan sahaja membuka jalan ke arah pemerkasaan Kumpulan Felda yang lebih mampan dan berfokus, malah selari dengan aspirasi Felda dalam menjayakan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan Felda 2025-2030. 

Pada 2020, Felda mencetuskan tawaran pengambilalihan selepas meningkatkan pegangan dalam FGV daripada 33.66 peratus dengan membeli saham daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah pada nilai RM658 juta.

FGV yang mula disenaraikan pada 2012 pada harga RM4.55 sesaham berjaya meraih RM10.5 bilion dalam satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia. Bagaimanapun, sejak itu, harga sahamnya merosot dengan ketara.

-- BERNAMA