BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Pengerang Terminals Labur RM1.4 Bilion Kembang Kapasiti Penyimpanan

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB) akan mengembang dan membangunkan kapasiti penyimpanan kira-kira 272,000 meter padu, melibatkan pelaburan sebanyak US$330 juta (RM1.4 bilion) termasuk kos yang berkaitan dengan perkongsian fasiliti di terminal itu.

Dialog Group Bhd melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu bahawa syarikat usaha sama tidak langsungnya, yang dimiliki sebanyak 25 peratus, PT2SB telah menandatangani perjanjian penggunaan terminal dengan Pengerang Biorefinery Sdn Bhd (PBSB) untuk menyediakan fasiliti penyimpanan dan pengendalian ke atas produk serta stok suapan PBSB.

"Projek pengembangan ini disokong oleh perjanjian pembelian jangka panjang selama 25 tahun dan akan mendapat manfaat daripada kecekapan kapasiti semasa dan infrastruktur PT2SB," katanya.

"Biorefinery PBSB akan mempunyai keupayaan untuk memproses kira-kira 650,000 tan setahun bahan mentah dalam menghasilkan bahan api penerbangan lestari serta biobahan api  lain seperti minyak sayuran diesel hidrogenasi/diesel yang boleh diperbaharui," katanya.

Dialog Group berkata projek itu tidak dijangka memberi kesan kepada modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar serta kesan material terhadap pendapatan untuk tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 Jun 2026.

"Bagaimanapun ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan akan datang Dialog Group," katanya.

Sementara itu, Royal Vopak dalam satu kenyataan berasingan berkata pengembangan itu akan memanfaatkan kecekapan sedia ada dan operasi di terminal tersebut, meningkatkan daya saingnya.

"Jumlah pelaburan sebanyak €282 juta (RM1.38 bilion), yang mana bahagian Vopak adalah €72 juta, akan menyokong pulangan tunai operasi kumpulan apabila ditauliahkan, dijangka pada pertengahan 2028.

"Pelaburan ini sejajar dengan strategi kami untuk mempercepatkan ke arah infrastruktur yang menyokong peralihan tenaga sambil memperkukuhkan kedudukan perindustrian PT2SB," katanya.

PT2SB memiliki dan mengendalikan terminal laut dalam khusus untuk berkhidmat dengan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Pemegang saham PT2SB merangkumi Dialog Equity (Two) Sdn Bhd (anak syarikat Dialog) (25 peratus), PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd (subsidiari Petronas) (40 peratus), Vopak Terminal Pengerang BV (anak syarikat Royal Vopak) (10 peratus) dan Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd (syarikat milik negeri Johor) (10 per cent).

-- BERNAMA