Alliance Bank Berhati-hati Tetapi Optimis Terhadap Prestasi Tahun Kewangan 2026

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd mengambil pendekatan secara berhati-hati tetapi optimis terhadap prestasi tahun kewangannya berakhir 31 Mac, 2026 (TK2026), di tengah-tengah cabaran ekonomi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kellee Kam.

Beliau berkata bank itu mengunjurkan kadar pertumbuhan dua angka bagi pinjamannya, antara 8.0 peratus hingga 10.0 peratus untuk segmen pengguna pada TK2026, iaitu lebih rendah berbanding pertumbuhan pinjaman antara 12.0 peratus hingga 14 peratus sejak dua tahun lepas.

“Persoalannya ialah sama ada gabungan kenaikan kos perniagaan serta potensi tarif akan menjejaskan pertumbuhan perniagaan dan juga kualiti aset. Masih terlalu awal untuk diumumkan. Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan baru sahaja dilaksanakan.

“Tarif Amerika Syarikat masih belum dimuktamadkan lagi, jadi ia menyebabkan sukar untuk dijangkakan,” kata Kam selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa bank itu di sini hari ini.

Walaupun berdepan cabaran, beliau berkata kedudukan mudah tunai kekal positif dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus baru-baru ini, kadar pengangguran yang lebih rendah dan data-data positif dalam sektor perindustrian dan pelancongan yang membantu mengimbangi kesan tekanan ekonomi.

“Kami percaya faktor-faktor ini mampu mengimbangi keadaan dan kualiti aset akan dapat diuruskan tahun ini,” kata Kam.

Beliau juga berkata bank itu mengunjurkan margin faedah bersihnya berkurangan sebanyak 3.0 mata asas susulan penurunan OPR baru-baru ini.

“Ia masih berada dalam julat panduan semasa kami iaitu antara 2.4 peratus hingga 2.45 peratus. Ini menandakan peningkatan dalam aktiviti perniagaan dan pemberian pinjaman, tetapi ia perlu diimbangi secara berhemat dalam landskap makroekonomi,” kata Kam.

-- BERNAMA