BERITA TERKINI   Lima remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kota Kinabalu Rabu ini berhubung kes buli  pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina - Peguam Negara | PM Anwar dijadual umum inisiatif baharu bagi masyarakat India esok di Dewan Rakyat - Ramanan  | Nilai kemanusiaan perlu diterapkan dalam pendidikan dan pembangunan teknologi baharu serta kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | Aspek tatakelola dan tadbir urus baik perlu diterapkan dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara ini -- PM Anwar | AGC putuskan untuk tuduh beberapa suspek terlibat dalam kes buli Zara Qairina | 

Pasaran Kopi Domestik Malaysia Bernilai US$1.05 Bilion —Chan

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Pasaran kopi domestik Malaysia bernilai US$1.05 bilion (US$1 = RM4.23), dengan lebih daripada 6,400 kafe beroperasi di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Bercakap kepada pemberita pada Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB 2025) edisi ke-24 dan Ekspo Kafe Malaysia (MCE), Chan berkata tekanan luaran menjadi pendorong kepada Malaysia untuk mengembangkan penanaman kopi domestik untuk penggunaan tempatan.

“Memperkukuh pengeluaran kita sendiri merupakan langkah bagi memastikan ekonomi kafe terus berkembang maju selain meletakkan Malaysia sebagai negara yang berwibawa yang tulen dalam perdagangan kopi global.

“Setakat yang saya tahu, antara kawasan utama penanaman kopi di Malaysia ialah di Pagoh, Johor, dan Ranau, Sabah. Walaupun kopi bukan di bawah kementerian saya, saya menyeru para penanam agar memberi perhatian kepada tanaman ini yang mempunyai prospek besar di Malaysia,” katanya.

Walaupun permintaan terhadap kopi semakin meningkat, Chan berkata rantaian bekalan kopi global sedang berdepan dengan ketidaktentuan yang semakin meningkat.

Sebagai contoh, hasil tuaian Arabica Brazil bagi 2024 berkurang sekitar 12 peratus akibat kemarau yang dipacu oleh fenomena El Nino.

Pada masa yang sama, krisis Laut Merah turut memaksa laluan perkapalan untuk memintas lebih 5,000 kilometer, menambah antara US$0.12 hingga US$0.15 bagi setiap paun kepada kos kopi yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Tekanan yang digabungkan ini mendorong penunjuk harga komposit Pertubuhan Kopi Antarabangsa meningkat sebanyak 94.6 peratus dalam tempoh hanya satu tahun,” katanya.

Chan berkata, kopi jarang wujud bersendirian kerana ia hampir sentiasa disertai dengan kedai roti bagi melengkapi budaya kopi.

Katanya, ini membuka hubungan penting kepada satu daripada kekuatan utama Malaysia iaitu minyak sawit kerana produk bakeri bergantung kepada bahan berasaskan sawit terutamanya marjerin, lelemak dan pengganti mentega koko (CBE), katanya.

Beliau berkata CBE digunakan secara meluas dalam pastri dan konfeksi berperisa coklat sebagai pengganti mentega koko, menjadikannya komponen penting dalam segmen bakeri artisan dan komersial yang semakin berkembang.

“Ini mengukuhkan bagaimana industri minyak sawit Malaysia sangat berkait rapat dengan kebangkitan budaya kopi dan ekonomi kafe,” katanya.

-- BERNAMA