Langkah Batal Cukai Barang Bernilai Tinggi Tidak Jejas Unjuran Hasil RM700 Juta - Ahli Ekonomi
Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Keputusan kerajaan tidak meneruskan cadangan cukai barang bernilai tinggi (HVGT), yang dulunya dikenali sebagai cukai barang mewah, tidak akan menjejaskan perolehan cukai sebanyak RM700 juta yang dijangka diperoleh daripada pelaksanaannya, kata ahli ekonomi.
Profesor ekonomi Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata langkah itu akan meredakan kebimbangan mengenai potensi kesan cukai terhadap perbelanjaan pengguna dan pelancong, kerana penggabungannya ke dalam Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah menghapuskan ketidaktentuan mengenai barangan yang dikenakan cukai.
Beliau menjelaskan bahawa sejak prinsip HVGT diintegrasikan ke dalam struktur SST yang diperluaskan, apabila barangan mewah dan ikut budi bicara kini dikenakan cukai pada lima atau 10 peratus, kadarnya sama berkesan seperti cadangan untuk HVGT dalam Belanjawan 2023.
“Sasaran hasil tidak akan terjejas kerana kadar SST yang sama akan digunakan tanpa perlu menentukan mana-mana barangan yang dianggap bernilai tinggi,” kata Yeah kepada Bernama.
Kementerian Kewangan (MOF), dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa berkata kerajaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan HVGT.
Bagaimanapun, katanya, prinsip HVGT akan dikekalkan di bawah semakan semula struktur cukai jualan, apabila barangan mewah dan pilihan dikenakan cukai pada kadar lima atau 10 peratus.
Sementara itu, HVGT kali pertama diperkenalkan dalam semakan Belanjawan 2023, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari 2023.
Pada awalnya, HVGT bakal dilaksanakan pada Mei 2024 dengan cadangan kadar cukai antara lima hingga 10 peratus. Kerajaan mengunjurkan cukai itu akan menjana pendapatan tambahan tahunan sebanyak RM700 juta.
-- BERNAMA