Aktiviti Belian Saat Akhir Dorong Bursa Malaysia Ditutup Paras Tertinggi Intra Hari

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra hari pada Rabu disebabkan aktiviti pembelian saat-saat akhir dalam beberapa saham utama yang diterajui oleh sektor produk perindustrian dan perkhidmatan kewangan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 0.68 mata atau 0.05 peratus untuk ditutup kepada 1,524.50 daripada 1,523.82 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.28 mata lebih tinggi kepada 1,524.10 dan mencatat paras terendah kepada 1,516.96 sepanjang sesi pagi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 570 berbanding 377 manakala 508 kaunter tidak berubah, 1,076 tidak diniagakan dan 89 lagi digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.65 bilion unit bernilai RM2.07 bilion daripada 3.36 bilion saham bernilai RM2.18 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata barometer pasaran diniagakan dalam jajaran kecil sepanjang hari, berlegar sekitar paras 1,522 sebelum lonjakan ketara berlaku dalam 10 minit terakhir yang mendorongnya untuk ditutup pada 1,524.50.

 Beliau berkata kaunter perkhidmatan kewangan ketinggalan pada awal sesi dagangan, dipengaruhi oleh perbezaan dasar monetari yang semakin melebar di antara Bank Negara Malaysia (BNM) dengan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

“Awal bulan ini, BNM menurunkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus manakala Fed dijangka mengekalkan kadar penanda arasnya itu pada 4.33 peratus.

“Jurang dasar yang semakin melebar ini meningkatkan risiko aliran keluar modal dari sektor sensitif iaitu kadar faedah selain mendorong pelabur asing mengurangkan kedudukan mereka dalam sektor kewangan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek juga berkata pasaran mula mengambil kira peningkatan ketidaktentuan dengan kurang daripada 48 jam sebelum tarikh akhir rundingan tarif AS dan menjelang keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan diumumkan malam ini.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan pelabur secara berperingkat memasuki semula pasaran dengan mengharapkan pencetus seperti kelonggaran dasar serantau, kemajuan rundingan perdagangan serta minat baharu terhadap saham mewah yang dinilai rendah.

“Kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI antara 1,510 dan 1,540,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals (PChem) naik 28 sen kepada RM4.07, Public Bank menokok lapan sen kepada RM4.29 dan Hong Leong Bank naik 26 sen kepada RM19.30 manakala CIMB berkurang sembilan sen kepada RM6.55 dan Maybank turun tujuh sen kepada RM9.45.

Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM13.28 dan IHH Healthcare bertambah tiga sen kepada RM6.63.

Dalam kalangan saham paling cergas, NexG dan Zetrix AI kekal tidak berubah masing-masing pada 53 sen dan 84.5 sen, Lotte Chemical Titan meningkat empat sen kepada 72 sen manakala Tanco merosot sembilan sen kepada 83.5 sen dan Pharmaniaga turun dua sen kepada 16 sen.

 Selain PChem, antara saham yang melonjak paling banyak iaitu Chin Teck Plantations yang bertambah 27 sen kepada RM9.76, Hong Leong Bank menokok 26 sen kepada RM19.30 dan Far East Holdings naik 20 sen kepada RM4.

Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle merosot 40 sen kepada RM87.40, Fraser and Neave turun 30 sen kepada RM28.60 dan Allianz Malaysia berkurang 28 sen kepada RM17.42.

Di pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas susut 4.60 mata kepada 11,435.53, Indeks FBMT 100 turun 2.83 mata kepada 11,198.70 dan Indeks FBM Emas Syariah hilang 4.07 mata kepada 11,474.02.

Indeks FBM 70 merosot 38.51 mata kepada 16,489.70 dan Indeks FBM ACE menyusut 32.74 mata kepada 4,593.88.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.51 mata kepada 160.89, Indeks Perladangan naik 12.48 mata kepada 7,407.51 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurang 11.61 mata kepada 17,297.73 dan Indeks Tenaga turun 0.01 mata kepada 743.71.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.26 bilion unit bernilai RM1.81 bilion daripada 1.48 bilion unit bernilai RM1.87 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.07 bilion unit bernilai RM160.12 juta daripada 1.10 bilion unit bernilai RM183.90 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 312.33 juta unit bernilai RM99.59 juta daripada 772.91 juta unit bernilai RM121.40 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 182.74 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (245.50 juta), pembinaan (79.47 juta), teknologi (244.64 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (81.78 juta), hartanah (141.15 juta), perladangan (20.77 juta), REIT (34.39 juta), dana tertutup (8,800), tenaga (70.35 juta), penjagaan kesihatan (90.04 juta), telekomunikasi dan media (18.85 juta), pengangkutan dan logistik (19.82 juta), utiliti (33.51 juta) serta amanah perniagaan (63,200).

-- BERNAMA