Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Menjelang Pengumuman Kadar Faedah
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS berikutan peniaga mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dalam keadaan ketidaktentuan mengenai potensi penurunan kadar faedah.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2410/2455 berbanding dolar AS daripada 4.2320/2365 semasa ditutup semalam.
Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari bermula 29 hingga 30 Julai di Washington dijangka memberikan panduan penting mengenai hala tuju dasar monetari Fed.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini pada RM4.2278, namun kembali menyusut petang ini.
Bagaimanapun, katanya kelemahan ringgit dihadkan oleh berita positif selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan Malaysia.
“IMF telah menyemak unjuran pertumbuhan KDNK global 2025 daripada 2.8 peratus kepada tiga peratus, dan katanya aktiviti yang dilakukan lebih awal dan kesediaan AS untuk mengurangkan tarif telah membantu meningkatkan prospek ekonomi.
“Selain itu, unjuran KDNK Malaysia bagi 2025 turut disemak naik daripada 4.1 peratus kepada 4.5 peratus. Kebolehramalan perdagangan yang lebih baik perlu dilihat secara positif kerana akan meningkatkan sumbangan daripada permintaan luar,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berpendapat bahawa rundingan perdagangan dengan AS yang melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia masih berterusan memandangkan kedua-dua pihak terus mencari jalan penyelesaian untuk menangani ketidakseimbangan perdagangan.
“Mungkin ini akan menetapkan konteks yang sesuai bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang akan menggalakkan pembaharuan struktur yang boleh memberi manfaat kepada ringgit dalam jangka panjang,” katanya.
RMK13 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis di Parlimen.
Pada penutupan dagangan, ringgit lebih rendah berbanding mata wang utama.
Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.8646/8678 daripada 2.8479/8511 semasa ditutup pada Selasa, berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.6745/6805 daripada 5.6518/6578 semalam, dan rendah berbanding euro kepada 4.8996/9048 daripada 4.8990/9042 sebelumnya.
Ringgit bercampur-campur berbanding mata wang negara serantau.
Ia rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 258.5/258.9 daripada 257.8/258.2 semalam, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2919/2957 daripada 3.2875/2913, tetapi meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.38 daripada 7.38/7.39, dan menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0528/0719 daripada 13.0537/0740 sebelum ini.
-- BERNAMA