BERITA TERKINI   Malaysia akan menyokong pengenaan tarif sifar terhadap komoditi seperti koko, getah dan minyak sawit dieksport ke AS yang kini tertakluk kepada duti 19 peratus - Tengku Zafrul | Siasatan terperinci, menyeluruh dijalankan bagi kenal pasti punca kematian Pegawai Palapes UTM - KPD Kota Tinggi | Kematian Pegawai Palapes UTM: Hasil bedah siasat dapati tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan - KPD Kota Tinggi | Siasatan terperinci, menyeluruh dijalankan bagi kenal pasti punca kematian Pegawai Palapes UTM - OCPD Kota Tinggi | Malaysia terus mengenakan duti eksais terhadap kereta, tembakau dan alkohol diimport dari AS - Tengku Zafrul | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kebakaran Hutan, Kebimbangan Output Rendah

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi hari ini berikutan kebakaran hutan di Sumatera Utara, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata keadaan itu mungkin menjejaskan pengeluaran dalam jangka sederhana, berkemungkinan menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM4,200 dan rintangan pada RM4,350 satu tan," katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang beribu pejabat di Mumbai Anilkumar Bagani berkata pengisytiharan status darurat oleh Indonesia di Sumatera Utara telah mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan baharu, yang menyumbang kepada pemulihan pasaran mulai Selasa dan tempoh selanjutnya.

Pada masa depan, beliau berkata potensi semakan meningkat terhadap cukai eksport dan levi minyak sawit Indonesia akan bergantung sama ada harga kekal melebihi RM4,200 satu tan dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Pelarasan sedemikian secara tidak langsung akan menyokong minyak sawit Malaysia dengan menambah baik penentuan harga relatif dan daya tarikan eksportnya,” katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Ogos meningkat RM21 kepada RM4,209 satu tan, September 2025 menambah RM23 kepada RM4,254 satu tan dan Oktober 2025 meningkat RM24 kepada RM4,278 satu tan.

Kontrak November 2025 meningkat RM24 kepada RM4,293 satu tan, Disember 2025 naik RM23 kepada RM4,302 satu tan dan Januari 2026 menokok RM23 kepada RM4,307 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 59,067 lot daripada 61,890 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 224,701 kontrak daripada 224,301 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan menokok RM20 kepada RM4,230 satu tan.

-- BERNAMA