Pertumbuhan KDNK Tahunan Diunjurkan 4.0 Hingga 5.0 Peratus Bagi Tempoh RMK13 - MBSB Investment
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dijangka menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan pada kadar 4.0 hingga 5.0 peratus setahun dari 2026 hingga 2030, menurut MBSB Investment Bank.
MBSB Investment menjelaskan sasaran itu didorong oleh pembangunan infrastruktur, penggunaan domestik serta inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan RMK13 di persidangan Dewan Rakyat, petang ini.
Menurut bank pelaburan itu penggunaan swasta, yang menyumbang lebih 60 peratus kepada KDNK, dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh peningkatan guna tenaga dan paras pendapatan.
Perbelanjaan pembangunan dijangka dikekalkan pada sekitar RM80 bilion setahun, menyumbang kira-kira 3.3 peratus kepada KDNK, untuk memastikan aliran projek yang kukuh dan kebolehlihatan pendapatan bagi peserta industri pembinaan, tambahnya.
“Kami berpndangan paras perbelanjaan ini penting untuk menyokong perkhidmatan awam dan projek infrastruktur bagi beberapa tahun, di samping mengelakkan pengetatan fiskal yang berlebihan yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
“Kerajaan berhasrat mengurangkan defisit fiskal kepada 3.0 peratus daripada KDNK menjelang 2030, dengan menyeimbangkan keperluan pelaburan menerusi usaha pengurusan fiskal yang bertanggungjawab,” menurut nota penyelidikan bank pelaburan itu.
Menurut MBSB Investment, projek infrastruktur utama yang ditetapkan akan menjadi teras pertumbuhan sektor termasuk Transit Aliran Massa 3, Transit Aliran Ringan Pulau Pinang, Laluan Rel Pantai Timur, Lebuhraya Pan Borneo, peluasan lapangan terbang seperti di Pulau Pinang dan Miri, serta pelbagai projek jalan raya penting di seluruh negara.
Sabah dan Sarawak dijangkakan menerima peruntukan infrastruktur yang besar untuk meningkatkan rangkaian jalan raya, peralihan tenaga dan infrastruktur logistik, tambahnya.
“Bagi Sarawak sahaja, cadangan peruntukan RM38.4 bilion untuk pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada, RM20.0 bilion bagi memastikan bekalan air bersih dan RM7.90 bilion untuk kemudahan kesihatan baharu.
“Harapan terhadap infrastruktur Sabah pula merangkumi projek mitigasi banjir secara menyeluruh serta peningkatan kesalinghubungan penting,” jelasnya.
Selain itu, RMK13 turut menekankan kerjasama awam-swasta (PPP), yang diperkukuh dengan Pelan Induk PPP 2030 (PIKAS 2030), bagi membantu mengurangkan tekanan fiskal dan mempercepat pelaksanaan infrastruktur.
PIKAS 2030 menyenaraikan beberapa projek PPP utama termasuk Lebuhraya West Ipoh Span, Lebuhraya Putrajaya-Bangi, pembangunan semula Stesen KL Sentral, Lebuhraya Pantai Timur 3, peluasan Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak dan peluasan Terminal Kontena Pelabuhan Barat.
Semua projek itu dijangka meningkatkan penyertaan sektor swasta secara ketara, seterusnya memacu aliran kerja pembinaan infrastruktur yang stabil untuk peserta industri, menurutnya.
MBSB Investment turut menjangkakan RMK13 dapat menyelesaikan cabaran struktur, dengan pembaharuan dirancang merangkumi penyampaian perkhidmatan awam, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan.
Transformasi pasaran buruh, termasuk meningkatkan nisbah pekerjaan berkemahiran kepada 35 peratus dan menangani isu pekerjaan tidak setara, bertujuan membina ekonomi berdaya tahan dan inklusif yang menyokong kemakmuran jangka masa panjang untuk semua rakyat Malaysia, menurut MBSB Investment.
Bank pelaburan itu turut menjangkakan pendapatan korporat meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 5.0 peratus dari 2026 hingga 2030.
Memandangkan petunjuk pasaran ekuiti tempatan FBM KLCI diunjurkan mencatatkan pendapatan sebanyak 109.4 mata pada 2025, CAGR sebanyak 5.0 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka mendorong pendapatan FBM KLCI kepada 139.6 mata menjelang akhir 2030, jelasnya.
“Oleh itu, kami membuat unjuran kasar bagi FBM KLCI pada 2030 dengan sasaran tinggi sebanyak 2,510 mata, sasaran rendah 1,810 mata dan sasaran purata 2,230 mata,” katanya.
-- BERNAMA