BERITA TERKINI   Malaysia akan menyokong pengenaan tarif sifar terhadap komoditi seperti koko, getah dan minyak sawit dieksport ke AS yang kini tertakluk kepada duti 19 peratus - Tengku Zafrul | Siasatan terperinci, menyeluruh dijalankan bagi kenal pasti punca kematian Pegawai Palapes UTM - KPD Kota Tinggi | 

Bursa Malaysia Ditutup Pada Paras Terendah Intra Hari Walaupun Optimis Terhadap RMK13

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah intra hari pada Khamis diasak oleh sentimen serantau yang melemah walaupun optimis terhadap visi dasar strategik Malaysia di bawah pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.25 mata atau 0.74 peratus akibat aktiviti jualan lewat yang menyebabkan ia ditutup pada paras 1,513.25 daripada 1,524.50 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.51 mata lebih tinggi iaitu pada 1,523.99 dan mencatat paras tertinggi pada 1,524.05 di sesi awal dagangan sebelum menyusut sepanjang hari.

Bagaimanapun, di pasaran secara menyeluruh menunjukkan sedikit peningkatan, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 545 berbanding 475, manakala 483 kaunter tidak berubah, 992 tidak diniagakan dan 53 kaunter digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.77 bilion saham bernilai RM3.10 bilion berbanding 2.65 bilion saham bernilai RM2.07 bilion semalam.

Penurunan indeks tempatan hari ini boleh disifatkan selari dengan sentimen negatif yang melanda pasaran serantau utama.

Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.60 peratus kepada 24,773.33, Indeks Straits Times Singapura menguncup 1.06 peratus kepada 4,173.77, Kospi Korea Selatan merosot 0.28 peratus kepada 3,245.44, manakala Nikkei 225 Jepun melonjak 1.02 peratus kepada 41,069.82.

Mengulas situasi bursa hari ini, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Indeks Teknologi Bursa Malaysia melonjak semula dengan ketara selepas tiga sesi penurunan berturut-turut.

Beliau berkata pemulihan itu dipacu oleh keyakinan pelabur yang diperbaharui berikutan pembentangan visi dasar strategik Malaysia di bawah RMK13 oleh Anwar.

“Rancangan itu meletakkan asas bagi transformasi ekonomi negara dalam jangka sederhana, dengan penekanan yang kuat terhadap pertumbuhan inklusif, kemampanan alam sekitar dan inovasi teknologi.

“Inisiatif utama seperti Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Kebangsaan 2030, bersama-sama dengan fokus yang dipertingkat untuk mengukuhkan infrastruktur digital, bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi pelaburan bernilai tinggi dan menghadapi masa depan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek juga berkata pelabur menantikan kejelasan menjelang tarikh akhir rundingan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata sentimen pasaran kekal rapuh, dengan ketidaktentuan yang memuncak berkaitan trajektori dasar perdagangan AS yang dijangka diumumkan oleh Presiden Donald Trump sama ada hari ini atau esok.

“Selain itu, pelabur juga memantau sama ada tarikh akhir rundingan tarif semasa akan dilanjutkan; pengenaan tarif baharu ke atas Malaysia yang kini dikenakan pada kadar 25 peratus bersama rakan dagangan lain; dan potensi semakan atau kembali semula kepada perjanjian tarif yang telah diumum sebelum ini.

“Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat, ketidaktentuan mengenai hala tuju dasar perdagangan telah menyebabkan banyak syarikat Malaysia mengambil pendekatan tunggu dan lihat, menangguhkan keputusan pelaburan dan pesanan eksport sehingga terdapat kejelasan yang lebih lanjut,” tambahnya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank merosot enam sen kepada RM9.39, Public Bank turun lapan sen kepada RM4.21, Tenaga Nasional susut 26 sen kepada RM13.02, CIMB kekal pada RM6.55, manakala IHH Healthcare naik dua sen kepada RM6.65.

Antara saham paling aktif, Pharmaniaga meningkat 1.5 sen kepada 17.5 sen, Zetrix AI naik 3.5 sen kepada 88 sen, Top Glove menokok 1.5 sen kepada 68.5 sen, VS Industry bertambah 7.5 sen kepada 80.5 sen, manakala TWL dan EA Holdings masing-masing kekal pada 2.5 sen dan setengah sen.

Kaunter untung diketuai oleh Malaysian Pacific Industries yang melonjak 74 sen kepada RM20.14, Nestle naik 68 sen kepada RM88.08 dan Hong Leong Industries meningkat 16 sen kepada RM13.06.

Bagi kaunter yang merosot paling banyak ialah Hong Leong Bank apabila susut 30 sen kepada RM19, Petronas Chemicals turun 19 sen kepada RM3.88, manakala Kuala Lumpur Kepong jatuh 12 sen kepada RM19.58.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 35.06 mata kepada 11,400.47, Indeks FBMT 100 susut 42.19 mata kepada 11,156.51, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 12.35 mata kepada 11,461.67.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 melonjak 114.91 mata kepada 16,604.61 dan Indeks FBM ACE meningkat 24.33 mata kepada 4,618.21.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.75 mata kepada 159.14, Indeks Perladangan susut 12.47 mata kepada 7,395.04 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 145.03 mata kepada 17,152.70, manakala Indeks Tenaga meningkat 4.63 mata kepada 748.34.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.94 bilion unit bernilai RM2.77 bilion daripada 1.26 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.43 bilion unit bernilai RM210.54 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM160.12 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 404.93 juta unit bernilai RM124.64 juta berbanding 312.33 juta unit bernilai RM99.59 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 259.94 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (299.56 juta), pembinaan (92.70 juta), teknologi (247.03 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (139.16 juta), hartanah (244.76 juta), perladangan (18.93 juta), REIT (29.79 juta), dana tertutup (12,800), tenaga (107.40 juta), penjagaan kesihatan (344.88 juta), telekomunikasi dan media (57.99 juta), pengangkutan dan logistik (33.65 juta), utiliti (62.91 juta) dan amanah perniagaan (15,500).

-- BERNAMA