BERITA TERKINI   Anwar akan lancar Program Mushaf Ummah pada 8 Ogos ini di Putrajaya | Institusi pondok akan dibangunkan dengan kemudahan teknologi baharu – PM Anwar | 

Jerayawara Vendor Beri Peluang Kerjasama Baharu Di Lapangan Terbang - Malaysia Airports

KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd melancarkan Connect and Collaborate Vendor Roadshow di seluruh negara bermula minggu ini di Kota Kinabalu untuk membina ekosistem vendor yang lebih teguh dan berdaya saing di Malaysia.

Malaysia Airports dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif strategik itu akan diperluaskan ke bandar utama termasuk Kota Bharu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuching dalam tempoh beberapa bulan akan datang berikutan usaha syarikat melibatkan perniagaan tempatan untuk turut serta dalam pertumbuhan dan transformasi rangkaian lapangan terbangnya.

Sebagai sebahagian daripada transformasi strategiknya untuk meningkatkan prestasi operasi dan penyampaian perkhidmatan, Malaysia Airports meneruskan pelaburan yang besar dalam penyelenggaraan, perkhidmatan teknikal dan pembangunan sistem meliputi 39 lapangan terbang, termasuk lima pintu masuk antarabangsa.

Menurut kenyataan itu usaha berkenaan menekankan peranan penting ekosistem vendor yang kukuh dalam menyokong operasi lapangan terbang dan pemodenan infrastruktur di seluruh negara.

“Melalui inisiatif ini, Malaysia Airports menyasarkan untuk memperluas kumpulan vendor yang layak, dengan memberi tumpuan khusus menggalakkan penyertaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kontraktor G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta pembekal yang mempunyai pelbagai keupayaan untuk memenuhi keperluan operasi yang semakin berkembang.

“Jerayawara ini diadakan untuk menyediakan pandangan yang praktikal kepada vendor berpotensi mengenai peluang perniagaan dengan Malaysia Airports.

"Ia juga akan memberikan kejelasan mengenai proses perolehan, pendaftaran vendor, keperluan teknikal dan penggunaan platform e-perolehan syarikat," menurut kenyataan itu.

Menurutnya saluran sokongan khusus juga akan diperkenalkan bagi membantu vendor terutamanya PKS untuk memahami keperluan dan piawaian pematuhan.

Seiring dengan agenda transformasinya, Malaysia Airports menggunakan pendekatan penilaian vendor yang lebih holistik dan berasaskan nilai.

“Kriteria penilaian akan memberikan kepentingan yang sama kepada integriti, kualiti prestasi, kemampanan, inovasi teknologi, keupayaan menyelesaikan masalah dan potensi pertumbuhan jangka panjang.

“Pendekatan ini memastikan vendor bukan sahaja berdaya saing malah sejajar dengan objektif lebih luas Malaysia Airports… daripada meningkatkan pengalaman penumpang dan daya tahan operasi sehingga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Jerayawara ini yang dianjurkan dengan kerjasama CIDB, turut mempermudah penglibatan peringkat awal dengan kepimpinan dan pasukan teknikal operator lapangan terbang bagi membantu vendor memahami konteks operasi dan keutamaan strategik dengan lebih baik,” kata MAHB.

Setiap jerayawara ini melibatkan dua sesi iaitu sesi taklimat pagi yang meliputi peluang perolehan dan kerjasama, diikuti lawatan ke lapangan terbang pada waktu petang.

Kaedah ini membolehkan vendor untuk berhubung terus dengan pembuat keputusan utama selain mendapat pemahaman langsung mengenai operasi lapangan terbang dan keperluan infrastrukturnya.

Vendor yang berminat untuk turut serta diminta melayari platform media sosial rasmi Malaysia Airports untuk maklumat terkini mengenai tarikh dan lokasi akan datang.

-- BERNAMA