Unit Cypark Dapat Kelulusan SEDA Untuk Bangunkan Loji Biogas 1.5MW Di Johor
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Cypark Resources Bhd (Cypark) menerusi anak syarikat 51 peratus milik tidak langsungnya, Reviva BACRE (Ulu Remis) Sdn Bhd, telah menerima kelulusan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) untuk membangunkan kemudahan biogas 1.5 megawatt (MW) di Layang-Layang, Johor.
Penyedia tenaga boleh ubah bersepadu dan penyelesaian alam sekitar itu berkata kelulusan tersebut diberikan mengikut program e-bidaan Tarif Galakan atau ‘Feed-in Tariff (FiT) SEDA 2025.
“Projek dengan kapasiti eksport bersih sebanyak 1.3MW dijadualkan siap menjelang 25 Julai, 2028.
“Selepas mendapat pentauliahan, ia akan membekalkan elektrik boleh ubah kepada grid kebangsaan selama 21 tahun di bawah mekanisme FiT,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Cypark berkata projek itu menekankan keupayaannya untuk melaksanakan pelbagai penyelesaian tenaga boleh ubah, menjadikan kumpulan itu sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam peralihan tenaga di Malaysia.
Katanya, apabila beroperasi, kemudahan biogas itu dijangka memberikan hasil jangka panjang yang boleh diramal di bawah regim FiT.
“Walaupun projek itu dijangka tidak memberi kesan material kepada perolehan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April, 2026, ia bakal memberi sumbangan positif kepada pendapatan akan datang apabila ia beroperasi,” katanya.
-- BERNAMA