Penurunan Tarif AS: Tengku Zafrul Beri Penjelasan Di Dewan Rakyat Pada Isnin - Fahmi
PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan memberi penjelasan di Dewan Rakyat pada Isnin depan berhubung keputusan terbaharu Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar tarif timbal balik ke atas Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
“Pada Isnin, Tengku Zafrul akan memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai keputusan dalam isu tarif timbal balik ini,” katanya.
Terdahulu, Tengku Zafrul dalam kenyataan berkata keputusan AS itu mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara.
Tengku Zafrul menjelaskan paling utama, pendirian Malaysia tidak berganjak bagi pelbagai perkara dalam rangkuman ‘garisan merah’ dan kadar tarif 19 peratus telah dicapai tanpa mengkompromi kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar penting bagi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosiokonomi negara.
Rundingan tarif antara Malaysia dan AS bermula pada 6 Mei dan tamat secara rasmi pada 31 Julai 2025.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan di Parlimen mengenai perbincangan menerusi panggilan telefon dengan Presiden AS Donald Trump, antara lainnya menyentuh isu perdagangan, termasuk tarif dan rundingan yang sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Wakil Perdagangan dan Setiausaha Perdagangan AS.
“Setelah mendapat penjelasan daripada saya, beliau memutuskan untuk menyemak semula kadar tarif yang akan dikenakan ke atas Malaysia selewat-lewatnya esok (hari ini),” kata Anwar.
-- BERNAMA