BERITA TERKINI   PM Anwar tegaskan sebarang keuntungan syarikat berkaitan Felda termasuk FGV mesti disalurkan semula kepada peneroka, bukan semata-mata untuk kepentingan korporat | PM Anwar harap FGV kembali kepada matlamat asal penubuhannya, beri keutamaan kepada hak dan hasil peneroka Felda | Menteri Pertahanan Thailand, Kemboja adakan perundingan di Kuala Lumpur Isnin ini - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM100,000 kepada setiap kampung di Felda untuk bangunkan projek pilihan di kawasan masing-masing | MINDEF tubuh jawatankuasa khas siasat kematian pegawai kadet Palapes UTM selepas jalani latihan di PULADA - Khaled Nordin | 

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Hadapan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah dijangka didagangkan dalam jajaran kecil tetapi dengan kecenderungan menurun pada minggu hadapan, kata pakar industri Denis Low. 

Ketidaktentuan di sekitar isu tarif Amerika Syarikat (AS) amat mempengaruhi harga komoditi di seluruh dunia.

"Permintaan untuk getah sedang terjejas seperti yang ditunjukkan dalam penurunan harga minggu sebelum ini.

"Para peniaga serta banyak perusahaan mengamalkan pendekatan 'tunggu dan lihat', memantau sama ada tarif semasa telah benar-benar stabil di tengah-tengah ketidakpastian pentadbiran Presiden Donald Trump" katanya kepada Bernama.

Terdahulu, dilaporkan bahawa Malaysia akan berusaha memohon tarif sifar ke atas komoditi seperti koko, getah dan minyak sawit yang dieksport ke AS, yang kini tertakluk kepada duti sebanyak 19 peratus.

Low juga memberitahu Jabatan Meteorologi Thailand telah meramalkan perubahan monsun, walaupun hujan lebat dijangka berterusan di beberapa wilayah. Akibatnya, pengeluaran getah mungkin terganggu, berpotensi menyebabkan kekurangan bekalan.

Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia yang memetik unjuran Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) meramalkan pengeluaran getah asli global meningkat sebanyak 0.5 peratus dan permintaan bertambah 1.3 peratus pada 2025. 

Ini, digabungkan dengan keluaran dalam negara kasar AS suku kedua yang lebih baik daripada jangkaan serta kadar tarif akhir untuk Malaysia yang ditetapkan pada 19 peratus, boleh menandakan potensi pemulihan di pasaran getah minggu hadapan.

"Bagaimanapun, dengan sektor pembuatan China menunjukkan tanda-tanda penguncupan dan aktiviti kilang di seluruh Asia menurun, permintaan serantau yang lemah boleh menjejaskan pasaran," kata persatuan itu.

Dari minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 susut sebanyak 12.5 sen kepada 715.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot tiga sen kepada 567 sen sekilogram.

-- BERNAMA