Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniaga Cenderung Menurun Minggu Depan
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun pada minggu depan disebabkan jangkaan permintaan yang lemah, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata sentimen pasaran akan dipengaruhi pengeluaran yang secara bermusim lebih tinggi menjelang laporan tanaman utama.
“Kami menjangkakan komoditi ini akan diniagakan antara RM4,150 hingga RM4,320 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh menjangkakan harga komoditi berkenaan berada dalam julat antara RM3,900 hingga RM4,000 satu tan pada minggu depan.
Beliau berkata julat harga itu merupakan tawaran yang menarik bagi pembeli fizikal dari China, India, Pakistan, negara Timur Tengah dan Kesatuan Eropah.
Beliau berkata niaga hadapan MSM terus menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding minyak mentah yang menyusut kepada sekitar US$66 hingga US$67 setong.
“Sejak 2007, minyak sawit secara konsisten menunjukkan prestasi kukuh dalam pasaran komoditi,” katanya.
Kerajaan sedang mendesak pelaksanaan tarif sifar bagi komoditi seperti koko, getah dan eksport minyak sawit ke Amerika Syarikat (AS) susulan pengumuman terbaru mengenai kadar tarif baharu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Zafrul berkata, jika AS mendapati ia tidak dapat mengeluarkan produk ini di dalam negara, terdapat kemungkinan besar produk berkenaan akan dikecualikan daripada tarif 19 peratus.
Secara mingguan, kontrak Ogos merosot RM28 kepada RM4,193 satu tan, kontrak September 2025 turun RM32 kepada RM4,226 satu tan dan kontrak Oktober 2025 susut RM28 kepada RM4,245 satu tan.
Kontrak November 2025 berkurang RM20 kepada RM4,263 satu tan, kontrak Disember 2025 mengecil RM11 kepada RM4,279 satu tan manakala kontrak Januari 2026 menokok sedikit iaitu sebanyak RM1 kepada RM4,291 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 293,302 lot daripada 385,858 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 224,913 kontrak daripada 229,303 kontrak.
Harga fizikal MSM untuk Ogos Selatan kekal tidak berubah pada RM4,230 satu tan.
-- BERNAMA