BERITA TERKINI   Tarif AS: dakwaan Malaysia akan serta-merta mengiktiraf sijil halal AS adalah tidak berasas - Tengku Zafrul | Dewan Rakyat: Mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 akan gunakan data PADU - Amir Hamzah | Dewan Rakyat: 204 agensi laksana perkongsian, integrasi data secara berterusan menerusi PADU - Amir Hamzah | 26 anggota, pegawai penguat kuasa di KLIA dibuang kerja tahun lepas kerana terlibat sindiket 'counter-setting' - Saifuddin Nasution | Kementerian Perpaduan bincang dengan Kementerian Kewangan, LHDN untuk pengecualian cukai kepada syarikat bantu program perpaduan komuniti - Aaron Ago | 

Pengawal Selia Perlu Berintegriti, Permudah Usaha Kembang Pasaran Modal -- SC

KUALA LUMPUR, Aug 3 (Bernama) -- Kalangan pengawal selia pasaran perlu berintegriti selain memudah cara usaha penciptaan nilai, membangunkan pasaran modal serta menangani cabaran masa depan.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata tidak kurang pentingnya adalah perlu wujud kepercayaan bahawa pengawal selia mengendalikan semua pihak berkaitan secara adil demi memastikan pasaran yang teratur.

Pada masa sama, beliau mengingkatkan pengawal selia mengenai kepentingan untuk dilihat sebagai membantu dalam membangunkan pasaran dan bukannya terlalu konservatif sehingga mengekang kemajuan serta inovasi.

“Usaha mewujudkan kepercayaan itu memerlukan kerangka kerja serta proses institusi yang kukuh. Atas alasan ini, sebagaimana pengawal selia lain di rantau ini, kita mempunyai dua mandat -- memastikan pasaran yang adil dan teratur serta mandat membangunkan pasaran modal.

“Antara buktinya adalah SC misalnya mewarisi saiz pasaran bernilai kira-kira RM600 bilion pada 1990-an dan telah membantu pasaran untuk mencecah RM1.4 trilion tahun lepas iaitu peningkatan hampir tujuh kali,” katanya dalam ucaptama di Sidang Kemuncak Pemimpin Penuntut Malaysia di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohammad Faiz berkata tidak semua yang digalakkan oleh SC sejak 30 tahun dapat direalisasikan, malah ada beberapa bidang seperti aset digital dan kredit karbon yang memerlukan lebih banyak masa sebelum dapat menjadi sebahagian daripada arus perdana.

“Namun, mandat kedua pembangunan pasaran itu adalah untuk meyakinkan pasaran bahawa kita juga ada kepentingan dalam mengembangkan pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata SC sedang melakukan proses semakan untuk lebih memahami kedudukan semasa pasaran modal serta di masa depan dalam 20 tahun akan datang.

“Perancangan sedang dibuat, tetapi tiada apa yang perlu disembunyikan dari segi beberapa cabaran yang perlu kita tangani seperti meningkatkan daya tarikan pasaran modal untuk berupaya membiayai pertumbuhan ekonomi, memastikan pulangan daripada produk pasaran dapat menyaingi dan melepasi kadar inflasi.

“Aspek lain adalah memastikan apabila anda semua bersara nanti, ada dana mencukupi untuk menampung keselesaan hidup dan membiayai kos perubatan,” katanya.

Mohammad Faiz berkata terdapat dua bidang dalam jangka pertengahan ini yang perlukan perancangan SC bagi membiayai peralihan dan penerimagunaan untuk menangani perubahan iklim.

“Juga (tempoh) pasca Hari Liberalisasi Amerika Syarikat (tarif) dan bagaimana kita dapat menjadi rakan lebih baik dengan jiran-jiran di ASEAN,” katanya.

Selain itu, beliau berkata wujud kepercayaan apabila sesebuah syarikat gagal atau mencatat kerugian, pasti ada pihak yang perlu dipersalahkan.

“(Persepsi) itu tidak semestinya tepat. Syarikat-syarikat secara amnya gagal apabila perniagaan terjejas atau susulan daripada keputusan perniagaan yang salah.

“Antara perkara yang perlu diambil kira adalah hanya lima daripada 30 syarikat asal dalam indeks Dow Jones Amerika Syarikat pada tahun 1930-an masih kekal beroperasi sehingga hari ini.

“Kebanyakannya, jika tidak semua, telah lenyap kerana perniagaan terjejas dan gagal membuat keputusan tepat,” katanya.

-- BERNAMA