BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Peruncit Tempatan Teruskan Pembelian, Catat Aliran Masuk Ekuiti Bersih RM114.4 Juta - MBSB IB

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Peruncit Malaysia meneruskan aktiviti pembelian bersih mereka di Bursa Malaysia bagi minggu keempat berturut-turut minggu lepas dan mencatatkan aliran masuk ekuiti bersih berjumlah RM114.4 juta, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Menerusi Laporan Aliran Dana mingguannya, bank pelaburan itu menjelaskan institusi tempatan pula mengakhiri rentetan penjualan bersih selama dua minggu apabila menjadi pembeli bersih minggu lepas, merekodkan pembelian bersih berjumlah RM263.7 juta.

MBSB IB memaklumkan pelabur asing terus menjual bersih bagi minggu keempat berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih ekuiti berjumlah RM378.1 juta, mewakili 4.2 kali lebih tinggi daripada aliran keluar minggu lepas dengan jumlah RM89.9 juta.

“Pelabur asing menjadi penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar antara RM13.2 juta hingga RM142.2 juta.

"Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Selasa, diikuti Isnin dengan RM103.3 juta, Khamis dengan (RM85.0 juta) dan Rabu (RM34.4 juta), manakala Jumaat mencatatkan aliran keluar terkecil,” tambahnya.

Menurut MBSB IB, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi adalah pembinaan (RM107.4 juta), pengangkutan dan logistik (RM93.9 juta) dan REIT (RM12.1 juta).

Selain itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM245.8 juta), penjagaan kesihatan (RM154.1 juta) dan utiliti (RM114.2 juta).

Bank pelaburan itu menjelaskan purata jumlah dagangan harian mengalami peningkatan secara keseluruhan minggu lepas, dengan pelabur asing dan peruncit tempatan masing-masing mencatatkan kenaikan 14.9 peratus dan 2.8 peratus, manakala institusi tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 5.0 peratus.

-- BERNAMA