BERITA TERKINI   Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman Ab Rahaman dilantik Ketua Polis Johor yang baharu | Malaysia tidak mengorbankan kepentingan nasional demi mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya rundingan bersama AS mengekalkan keunikan dasar negara - Tengku Zafrul | Pelaburan pembelian pesawat Boeing membolehkan Malaysia memanfaatkan potensi pertumbuhan industri pelancongan dan aeroangkasa - Tengku Zafrul | Pembelian pesawat Boeing oleh MAG berlandaskan keperluan menggantikan pesawat B737-800 yang secara purata telah beroperasi selama 14 tahun - Tengku Zafrul | Perolehan pesawat Boeing adalah sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan kapasiti armada yang bersifat jangka panjang serta berfasa - Tengku Zafrul | 

Bursa Malaysia Akhiri Sesi Pagi Rendah Susulan Prestasi Bercampur-campur Pasaran Serantau

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan mencatatkan penurunan susulan aktiviti jualan berterusan di kaunter-kaunter wajaran tinggi terpilih, walaupun terdapat sambutan positif terhadap pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) minggu lalu dan pengurangan tarif AS ke atas barangan Malaysia. 

Trend penurunan pada rehat tengah hari berlaku berikutan prestasi bercampur-campur di pasaran serantau dan aktiviti jualan besar-besaran di Wall Street pada Jumaat lepas.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.30 mata atau 0.35 peratus kepada 1,528.05 daripada 1,533.35 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.07 mata lebih rendah pada 1,530.28 dan bergerak dalam julat antara 1,522.96 dan 1,530.28 sepanjang sesi pagi.

Pada keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 540 berbanding 313, manakala 430 kaunter tidak berubah, 1,207 kaunter tidak diniagakan dan 11 kaunter digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.67 bilion saham bernilai RM952.56 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata indeks penanda aras itu memulakan minggu ini dengan rentak yang lebih perlahan susulan aktiviti jualan besar-besaran di Wall Street pada Jumaat.

Bagaimanapun, firma broker itu berkata pengumuman RMK13 minggu lalu yang menekankan pembangunan kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan transformasi digital — dilihat sebagai faktor-faktor yang berpotensi meningkatkan sentimen pasaran.

“Sehubungan itu, kami kekal optimis terhadap sektor-sektor utiliti, pembinaan, telekomunikasi dan tenaga boleh baharu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM9.55, Public Bank turun empat sen kepada RM4.25 dan Tenaga Nasional menurun 12 sen kepada RM13.18. CIMB merosot lima sen kepada RM6.74, manakala IHH Healthcare naik dua sen kepada RM6.70.

Bagi kaunter aktif, Trive Property kekal satu sen, Magma merosot 3.5 sen kepada 38 sen, Inari Amertron susut 14 sen kepada RM1.99 dan Zetrix AI jatuh 1.5 sen kepada 88 sen. Pharmaniaga meningkat satu sen kepada 18 sen.

Kaunter yang menerajui kenaikan ialah Nestle, naik 42 sen kepada RM88.22, manakala United Plantations dan Allianz Malaysia masing-masing menokok 18 sen kepada RM21.80 dan RM17.78.

Bagi kaunter yang mencatat penurunan yang ketara, Malaysian Pacific Industries merosot 30 sen kepada RM20.04, Hong Leong Bank turun 14 sen kepada RM19, manakala Petronas Dagangan susut 14 sen kepada RM21.48.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 42.66 mata kepada 11,482.67, Indeks FBMT 100 menyusut 42.49 mata kepada 11,243.14, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 28.97 mata kepada 11,511.79.

Indeks FBM 70 merosot 78.19 mata kepada 16,635.68, manakala Indeks FBM ACE naik 3.95 mata kepada 4,628.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 101.47 mata kepada 17,378.73, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.83 mata kepada 158.31, dan Indeks Tenaga turun 5.36 mata kepada 744.24. Bagaimanapun, Indeks Perladangan naik 10.90 mata kepada 7,381.87.

-- BERNAMA