BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Singapura Mulakan Kajian Strategi Ekonomi Untuk Kekal Berdaya Saing Di Peringkat Global

SINGAPURA, 4 Ogos (Bernama) -- Singapura akan menjalankan Kajian Strategi Ekonomi (ESR) bertujuan untuk mengukuhkan daya saing global dan kerelevanan ekonomi negara itu dalam persekitaran peralihan struktur seperti penjajaran semula geopolitik dan teknologi disruptif yang bergerak pantas.

 Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong berkata ESR itu akan terdiri daripada lima jawatankuasa yang akan membangunkan strategi jangka panjang dalam bidang daya saing global, teknologi dan inovasi, keusahawanan, modal insan dan mengurus kesan daripada penstrukturan semula.

"Ini adalah sesuatu yang sangat penting ketika ini untuk kita mengkaji strategi ekonomi utama Singapura untuk menentukan hala tuju untuk berikutan perubahan yang berlaku," katanya pada sidang media hari ini.

Setiap jawatankuasa dalam Kajian Strategi Ekonomi (ESR) akan dipengerusikan bersama oleh dua pemegang jawatan politik, selain itu, jawatankuasa tersebut akan turut disertai oleh wakil-wakil daripada sektor swasta, kesatuan sekerja, dan pihak berkepentingan lain yang relevan.

Setiap jawatankuasa berkenaan akan melapor kepada Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (SERT), yang dipengerusikan oleh Gan sendiri.

SERT ditubuhkan pada April lepas untuk membantu perniagaan dan pekerja menghadapi keadaan tidak menentu disebabkan tarif Amerika Syarikat (AS) dan perkembangan global yang lain.

"Kami berharap dapat memberikan maklumat terkini kerja-kerja dilakukan jawatankuasa tersebut pada awal tahun depan bersama beberapa cadangan utama dan berharap dapat menerbitkan laporan akhir pada pertengahan tahun depan," kata Gan.

Beliau berkata garis masa pelaksanaan adalah berbeza-beza bergantung pada setiap cadangan.

ESR menggantikan aliran kerja ketiga di bawah SERT, sebelum ini ditugaskan untuk membangunkan strategi dan respons jangka panjang untuk menyokong transformasi perniagaan dan tenaga kerja dalam landskap ekonomi yang berkembang.

Sekretariat ESR dalam satu kenyataan berkata ESR akan merangka pelan tindakan ekonomi yang berpandangan jauh dengan tindakan jelas untuk mendapatkan peluang baik bagi perniagaan dan pekerja.

ESR akan mengadakan sesi libat urus dengan perniagaan, pekerja dan pihak berkepentingan berkaitan untuk mengumpulkan maklum balas dan idea dalam beberapa bulan akan datang.

-- BERNAMA