BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI menurunkan defisit secara berfasa bagi mengurangkan beban hutang negara - PM Anwar | Malaysia tegas pertahankan beberapa peruntukan yang bertepatan dengan dasar negara dalam rundingan perdagangan dengan AS -- PM Anwar | Malaysia sedia hantar pasukan pemantau di sempadan Thailand-Kemboja jika diminta kedua-dua negara - PM Anwar | PM Anwar zahir penghargaan kepada semua pihak, pembangkang sokong usaha kerajaan dalam rundingan damai Thailand-Kemboja | Rundingan damai Thailand-Kemboja penting bagi imej ASEAN sebagai rantau aman dan pertumbuhan ekonomi rancak - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Pengeluaran Meningkat

Oleh K.Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan kebimbangan mengenai peningkatan pengeluaran di peringkat domestik dan paras inventori dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran turut terkesan dengan harga minyak kacang soya yang rendah sekali gus memberikan tekanan menurun kepada MSM.

“Kami melihat harga MSM menerima paras sokongan melebihi RM4,100 satu tan dan rintangan pada RM4,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM menyusut kepada paras terendah dalam tempoh 16 hari apabila peniaga menjual dalam keadaan unjuran stok yang semakin merosot dan penurunan dalam pasaran minyak sayuran berkaitan.

"Penurunan dalam minyak kacang soya di Chicago Mercantile Exchange pada Jumaat turut memberikan tekanan kepada niaga hadapan minyak sawit di Bursa MalaysiaDerivatif," katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Ogos susut RM27 kepada RM4,166 satu tan manakala kontrak September 2025 berkurangan RM52 kepada RM4,174 satu tan dan Oktober 2025 merosot RM58 kepada RM4,187 satu tan.

Sementara itu, November 2025 susut RM63 kepada RM4,200 satu tan, Disember 2025 rendah RM65 kepada RM4,214 satu tan dan Januari 2026 berkurangan RM68 kepada RM4,223 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 72,995 lot hari ini daripada 71,301 pada Jumaat manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 221,839 kontrak daripada 224,913.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan berkurangan RM30 kepada RM4,200 satu tan.

-- BERNAMA