BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

AGM : Barisan Kepimpinan Dewan Perdagangan Islam Malaysia Labuan Kekal

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 5 Ogos (Bernama) -- Barisan pimpinan Dewan Perdagangan Islam Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (DPIM WP Labuan) telah dilantik semula tanpa bertanding dalam mesyuarat agung tahunannya (AGM) bagi 2025.

Pengerusinya, Datuk Dr Ramli Tahir berkata ahli jawatankuasa itu dikekalkan menerusi AGM yang berlangsung pada akhir minggu lepas.

Dr Ramli yang juga naib presiden Jawatankuasa Pusat DPIM itu, turut menggesa agar ahli terus berdaya tahan dalam mengharungi ketidaktentuan landskap ekonomi masa kini.

Beliau turut mengingatkan mereka agar sentiasa bersatu dan saling menyokong dalam usaha memperkukuh asas-asas ekonomi Labuan.

“Dalam tempoh mencabar ini, kita perlu menegakkan semangat solidariti dan bekerjasama. Secara bersama, kita dapat merancakkan semula ekonomi Labuan menerusi pelbagai aktiviti berimpak dan mapan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur acara Festival Flora Borneo (BFF) yang diadakan pada 26-30 Julai lepas.

“Bilangan pengunjung yang mencecah lebih 100,000 daripada anggaran awal of 50,000, jelas membuktikan bahawa Labuan mempunyai potensi besar untuk dimajukan menerusi program-program berskala besar seperti itu.

“Maklum balas daripada kalangan ahli dan peniaga yang menyertai BFF juga amat positif, terutamanya menerusi kehadiran ramai pengunjung yang menyumbang secara ketara terhadap aktiviti perniagaan tempatan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa agar acara itu dianjurkan dalam skala lebih besar pada tahun depan.

Sehubungan itu, Dr Ramli berharap agar DPIM Labuan akan diberi kepercayaan menerusi penglibatan serta peranan lebih besar dalam inisiatif di masa depan.

--BERNAMA