Syarikat Penjagaan Kesihatan Malaysia Jana Jualan RM96.18 Juta Di IHW 2025
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Syarikat penjagaan kesihatan Malaysia mencatatkan jualan sebanyak RM96.18 juta sepanjang Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 yang berlangsung dari 16 hingga 18 Julai di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Program berkenaan dikendalikan oleh penganjur acara yang berpangkalan di United Kingdom, Informa Markets dengan kerjasama strategik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan ia menampilkan lebih 800 pempamer serta menarik lebih 22,000 pengunjung perdagangan.
MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata, Forum Hari Penjagaan Kesihatan Malaysia yang diadakan sewaktu penganjuran IHW 2025 menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi bagi mempamerkan ekosistem penjagaan kesihatan negara.
Katanya, forum berkenaan menekankan kekuatan dalam pelancongan perubatan, farmaseutikal, piawaian kawal selia dan kesihatan digital.
IHW 2025 dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan turut hadir ialah Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Informa Markets di Asia Margaret Ma.
Menurut MATRADE, sebanyak 10 syarikat Malaysia menyertai program berkenaan di bawah Pavilion Malaysia yang diselaraskan pihaknya dengan mempamerkan produk yang merangkumi terapi regeneratif, diagnostik, suplemen kesihatan dan barangan perubatan pakai buang.
“Syarikat-syarikat yang terlibat berjaya menjana jualan sebanyak RM96.18 juta sekali gus menekankan impak program ini sebagai platform bernilai tinggi untuk perdagangan antarabangsa dan kerjasama strategik dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Reezal Merican berkata inisiatif ini menunjukkan kemajuan yang konsisten sejak penglibatan awal tahun lepas termasuk penganjuran IHW yang julung kali diadakan di Bangkok, Thailand hasil daripada kerjasama dan pembangunan yang berterusan.
“Penganjuran IHW 2025 di Kuala Lumpur merupakan satu lonjakan perubahan kerana ia bukan sahaja program perdagangan penjagaan kesihatan terbesar di Asia Tenggara, malah mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab penjagaan kesihatan serantau,” katanya.
MATRADE berkata, eksport peranti perubatan Malaysia menokok sebanyak 31.6 peratus pada 2024 kepada RM37.03 bilion manakala eksport farmaseutikal berkembang sebanyak 4.0 peratus kepada RM3.04 bilion dengan destinasi eksport utama termasuk Amerika Syarikat, Belgium, Singapura, Jerman dan Jepun.
IHW 2025 juga menampilkan empat pameran yang diadakan serentak iaitu CPHI Asia Tenggara, WHX Kuala Lumpur, WHX Labs dan Medtec Asia Tenggara bersama-sama dengan Persidangan Persatuan Sistem Pengurusan dan Maklumat Penjagaan Kesihatan (HIMSS) Asia Pasifik.
Sebanyak 125 sesi persidangan diadakan sepanjang IHW 2025 dengan tumpuan kepada topik seperti kecerdasan buatan dalam penjagaan kesihatan, perkembangan farmaseutikal dan perubahan digital.
-- BERNAMA