BERITA TERKINI   Piala Malaysia: KL City FC 2-1 Terengganu FC (agregat: 3-2) | Pelaksana dan kontraktor projek fasiliti kesihatan perlu jalankan tanggungjawab penuh integriti, pastikan tiada ketirisan atau kelewatan - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan terus bantu Johor tingkat kedudukan ekonomi negeri - PM Anwar | PM Anwar arah projek kecil di seluruh daerah dilaksana segera sepanjang tahun ini | PM Anwar lulus segera peruntukan RM2 juta projek surau dan kemudahan di Pontian | 

Pharmaniaga Selesai Pelan Regularisasi, Dijangka Keluar PN17 Suku Pertama 2026

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pharmaniaga Bhd menyelesaikan pelan regularisasi Nota Amalan 17 (PN17) selepas menamatkan langkah pengurangan modalnya melalui pembatalan modal saham terbitan RM520 juta.

Syarikat farmaseutikal itu dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu memastikan kumpulan berada pada landasan yang tepat untuk keluar daripada status PN17 selewat-lewatnya pada suku pertama 2026.

“Langkah pengurangan modal ini, yang melibatkan pembatalan RM520 juta modal saham terbitan, diselesaikan selepas menerima pengesahan daripada Pejabat Pendaftar Syarikat hari ini bahawa semua keperluan undang-undang telah dipenuhi.

“Selepas langkah ini selesai, modal saham terbitan kumpulan berjumlah RM249.62 juta, yang terdiri daripada 6.55 bilion saham,” katanya.

Pharmaniaga menerima status PN17 pada Februari 2023 berikutan peruntukan sebanyak RM552.3 juta bagi “inventori yang bergerak perlahan” vaksin COVID-19.

Pada penutupan dagangan hari ini, kaunter ditutup tidak berubah pada 18.5 sen, dengan 28.69 juta saham bertukar tangan.

-- BERNAMA