BERITA TERKINI   Rang Undang-undang Pekerja Gig 2025 dijangka dibentang di Parlimen untuk bacaan kali pertama 14 Ogos ini - TPM Ahmad Zahid | PM Anwar beri jaminan kerajaan akan terus pantau, sokong MOM, badan sukan selagi utamakan tadbir urus baik | Tiada toleransi terhadap sebarang isu hooliganisme dan keganasan dalam sukan – PM Anwar | PM Anwar mahu ‘Olympic House’, ibu pejabat Majlis Olimpik Malaysia baharu, siap lebih awal daripada dijadualkan pada 2028 | Amerika Syarikat akan memantau secara dekat bagi memastikan Kemboja dan Thailand terus komited, dan bersedia menyokong usaha ASEAN - Duta Besar | 

MITI Unjur Nilai Pelaburan Diluluskan Sebanyak RM104 Bilion Pada 2025

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengunjurkan nilai pelaburan yang diluluskan pada 2025 sebanyak RM104 billion melibatkan sektor perkilangan dan perkhidmatan terpilih di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

Kementerian itu berkata jangkaan berkenaan mengambil kira beberapa faktor seperti unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), projek-projek yang sedang dalam penilaian dan projek-projek berpotensi.

"Berdasarkan rekod statistik pelaburan daripada MIDA, jumlah pelaburan yang diluluskan bagi suku pertama 2025 bernilai RM89.8 bilion, peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024. 

"Sehubungan itu, melihat kepada trend permohonan pelaburan kepada MIDA, unjuran pelaburan dijangka masih mengekalkan momentum positif untuk keseluruhan 2025," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat hari ini.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin tahu unjuran nilai pelaburan bagi 2025 serta strategi dan langkah kerajaan untuk memastikan nilai eksport dan nilai pelaburan tidak terjejas teruk disebabkan oleh tarif Amerika Syarikat (AS) dan geopolitik dunia yang tidak menentu.

Pada masa ini, kementerian itu berkata unjuran berkenaan adalah kekal memandangkan pengenaan tarif berkenaan hanya terkesan kepada syarikat yang bergantung pada pasaran AS.

MITI berkata pihaknya belum bercadang untuk menyemak semula sasaran pertumbuhan perdagangan untuk 2025 susulan perlaksanaan tarif timbal balik AS sebanyak 19 peratus kepada eksport barangan Malaysia ke negara itu baru-baru ini.

Sehubungan itu, ia akan terus memantau perkembangan semasa, khususnya eksport ke pasaran AS dan merangka strategi mitigasi yang bersesuaian.

"Prestasi perdagangan dijangka mengalami sedikit penurunan pada separuh kedua 2025 susulan penyusutan permintaan daripada pasaran AS selepas penguatkuasaan tarif. 

"Kesan yang lebih ketara dijangka dirasai pada suku pertama 2026 apabila aktiviti perdagangan kembali berjalan selepas pelaksanaan tarif itu," katanya.

Sebelum ini MITI telah mengunjurkan peningkatan sebanyak 5.0 peratus dalam jumlah perdagangan negara kepada RM3.01 trilion berbanding RM2.87 trilion yang direkodkan pada 2024.

Pengumuman terbaru oleh Presiden Trump mengenai kadar tarif sebanyak 19 peratus telah membuka ruang strategik kepada Malaysia untuk terus berada dalam kedudukan yang kompetitif setara dengan rakan-rakan dagang lain terutamanya dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN yang dikenakan kadar tarif hampir sama.

"Ingin ditekankan di sini bahawa Malaysia berjaya mendapat penurunan kadar tarif tanpa perlu berkompromi dengan dasar-dasar utama dan menjejas kedaulatan negara," katanya.

Bagaimanapun, MITI berkata kadar tarif itu tetap mempunyai impak ke atas prestasi eksport dan pelaburan, seterusnya memberi kesan ke atas ekonomi Malaysia 

-- BERNAMA