BERITA TERKINI   Dakwaan kononnya pelajar dari China melebihi pelajar tempatan di universiti awam adalah tidak betul - Zambry | Polis Thailand akan serah penyanyi Eda Ezrin kepada Imigresen Malaysia di Kompleks ICQS Rantau Panjang hari ini - Bukit Aman | Malaysia konsisten pertahan hak Palestin tubuh negara merdeka, meskipun ramai pihak tidak selesa dengan usaha negara - Mohamad Hasan | Orang ramai dijemput hadir ke Malam Malaysia Bersama Gaza anjuran MAPIM di Dataran Merdeka dari 22 hingga 24 Ogos ini - Fahmi Fadzil | Persiapan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) berjalan lancar - Fahmi Fadzil | 

Bursa Malaysia Meningkat Sedikit Selepas Dibuka Rendah, Jejaki Kenaikan Di Wall Street

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat sedikit selepas dibuka rendah pada Khamis, apabila pelabur mengambil petunjuk waspada daripada kenaikan semalaman di Wall Street  menjelang pengumuman tarif oleh Presiden Donald Trump hari ini. 

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.06 mata atau 0.004 peratus kepada 1,541.54, daripada 1,541.48 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.98 mata lebih rendah kepada 1,540.50.

Keseluruhan pasaran sedikit negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 176 berbanding 131 manakala 261 kaunter tidak berubah, 1,937 kaunter tidak diniagakan, dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 139 juta saham bernilai RM68.11 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata prestasi semalaman yang lebih kukuh di Wall Street disokong oleh pelaburan tambahan sebanyak US$100 bilion oleh Apple Inc, menjadikan jumlah perbelanjaan yang dirancang kepada US$600 bilion dalam beberapa tahun akan datang.

“Bagaimanapun, pelabur kekal berhati-hati susulan laporan terkini bahawa Trump mungkin mengenakan tarif sebanyak 100 peratus ke atas semikonduktor yang diimport.

“Selain itu, dagangan kekal hambar disebabkan ketiadaan pemangkin baharu. Oleh itu, kami menjangkakan bursa tempatan mencerminkan trend ini dan menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,535 hingga 1,545 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing naik dua sen kepada RM9.65 dan RM13.20, manakala Public Bank, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing susut dua sen kepada RM4.28, RM6.79 dan RM6.93.

Bagi kaunter aktif, Pharmaniaga dan SNS Network Technology masing-masing turun satu sen kepada 17.5 sen dan 51 sen, TWL kekal tidak berubah pada 2.5 sen, manakala Inari Amertron menambah tiga sen kepada RM1.89, dan Top Glove naik setengah sen kepada 62 sen.

Bagi pasaran lebih meluas, Indeks FBM Emas susut 2.75 mata kepada 11,530.15, Indeks FBMT 100 turun 2.42 mata kepada 11,301.44, manakala Indeks FBM Emas Syariah naik sedikit 1.17 mata kepada 11,537.76.

Indeks FBM 70 merosot 15.92 mata kepada 16,543.14, manakala Indeks FBM ACE susut 2.48 mata kepada 4,598.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 1.63 mata kepada 17,541.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.23 mata kepada 157.53, Indeks Tenaga berkurangan 2.21 mata kepada 735.41, dan Indeks Perladangan turun 2.42 mata kepada 7,345.29.

-- BERNAMA