Malaysia Dijangka Tarik Pelaburan RM637 Bilion Dalam TBB, Teknologi Hijau Menjelang 2050
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Malaysia dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM637 bilion dalam tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi hijau selain membuka 310,000 peluang pekerjaan menjelang 2050, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan juga telah menetapkan ekuiti pemilikan tempatan dalam kesemua projek TBB yang diperkenalkan dan dilaksanakan adalah sekurang-kurangnya 51 peratus.
Hal itu bagi memastikan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan dilakukan, katanya.
“Ini termasuk bagi pelaksanaan Program Solar Berskala Besar, Program Tarif Galakan, Program ‘Corporate Renewable Energy Supply Scheme’ (CRESS) dan Program ‘Community Renewable Energy Aggregation Mechanism’ (CREAM),” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin-PN) memgenai perancangan kementerian untuk menarik pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi hijau dan ekonomi sirkular berkaitan tenaga dan air.
Ahli Parlimen Rompin itu juga bertanya mengenai impak jangkaan terhadap penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan.
Fadillah berkata kerajaan akan menumpukan usaha dalam memperkukuh inisiatif TBB sedia ada bagi memberikan kepastian, insentif serta opsyen bekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pemain industri supaya menjadi faktor tarikan kepada pelabur untuk melabur dalam rantaian nilai industri TBB negara.
Beliau berkata antara usaha yang akan diteruskan termasuk memperkukuh pelaksanaan Program Solar Berskala Besar sebagai antara program penjanaan solar utama untuk menarik pelaburan dalam bidang TBB dengan implikasi kenaikan tarif yang minimum kepada pengguna elektrik.
“Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan mekanisme tarif galakan dan Program ‘Low Carbon Energy Generation’ sebagai program khusus untuk menarik pelaburan dalam bidang penjanaan daripada sumber bukan solar.
“Selain itu, kementerian akan memperkemaskan pelaksanaan CRESS untuk membolehkan syarikat yang melabur di negara ini mendapat bekalan elektrik hijau daripada penjana TBB pilihan secara langsung, selain daripada syarikat utiliti untuk memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta meneruskan penyediaan insentif cukai, ‘Green Investment Tax Allowance’ dan ‘Green Income Tax Exemption’,” katanya.
-- BERNAMA