BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Kerajaan Sedang Pertimbang Naikkan Cukai Tembakau -- PM Anwar

PUTRAJAYA, 7 Ogos  (Bernama) -- Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan bagi menaikkan kadar cukai tembakau yang juga sejajar dengan komitmen kerajaan bagi pembaharuan kesihatan awam dan fiskal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu juga berikutan wujudnya moratorium atau tiada sebarang semakan semula kenaikan cukai tembakau bagi satu tempoh yang lama.

Pada masa ini, cukai tembakau Malaysia berjumlah 58.60 peratus daripada harga runcit, malah Malaysia juga tidak mempunyai sebarang mekanisme rasmi bagi pelarasan harga secara bertempoh atau penilaian semula kadar itu yang kali terakhir dinaikkan pada September 2014.

“Saya setuju dengan (kekuatan) semangat (untuk sentiasa sihat). Bukan kerana saya tidak merokok, tetapi juga kerana adanya kempen anti-merokok,” kata beliau ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan mengkaji semula cukai itu dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan pada Oktober depan.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus Belanjawan 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, ahli ekonomi dilaporkan mencadangkan agar kadar cukai tembakau dinaikan kepada 60-75 peratus.

Pada minggu lepas, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Anwar berkata kerajaan akan memperluaskan cukai prokesihatan daripada gula kepada turut merangkumi tembakau, rokok elektronik atau vape dan alkohol.

Beliau berkata langkah memperluas kerangka cukai itu bukan hanya bertujuan menambah hasil cukai, tetapi juga bagi menggalakkan perubahan sikap dan membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Masalah NCD itu lazimnya dikaitkan dengan gaya hidup tidak sihat, termasuk penyakit jantung, strok, diabetes dan kanser.

Anwar turut menegaskan penjagaan kesihatan kekal menjadi keutamaan kerajaan berikutan keadaan sistem awam yang kian tertekan akibat inflasi perubatan, beban berganda penyakit berjangkit serta tidak berjangkit selain faktor populasi yang semakin menua.

-- BERNAMA