FMM Seru Panduan, Langkah Sokongan Berikutan Cadangan Tarif Ke Atas Semikonduktor
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Panduan yang jelas serta tepat pada masanya adalah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur selain mencegah gangguan dalam rantaian pembekalan yang diintegrasikan dengan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan global, menurut Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM).
Katanya, langkah-langkah sokongan yang disasarkan termasuk fasilitasi pengawalseliaan, perkhidmatan penasihat khusus, penglibatan dua hala bagi memudahkan halangan kemasukan pasaran dan akses kepada mekanisme pembiayaan yang mengurangkan risiko serta kos pelaburan.
Di peringkat dasar, FMM menggesa kerajaan untuk mengukuhkan sokongan ke atas strategi pelaburan domestik dan luar bagi menjamin daya saing berterusan Malaysia dalam industri semikonduktor global.
"Strategi Semikonduktor Nasional yang sedang dilaksanakan sekarang ini, perlu didorong ke hadapan dan menumpukan terutamanya untuk meningkatkan pelaburan dalam reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, fabrikasi wafer, penyelidikan dan pembangunan termasuk pembangunan bakat.
"Seiringan dengan itu, syarikat-syarikat yang mahu membuat pengembangan ke AS atau pasaran lain memerlukan fasilitasi khusus bagi menyokong usaha pengantarabangsaan mereka," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
FMM turut melahirkan kebimbangan mengenai pengenaan tarif 100 peratus oleh AS ke atas cip semikonduktor yang diimport tetapi mengecualikan syarikat yang mengeluarkan atau merancang untuk menghasilkannya di AS.
Perkembangan ini telah mewujudkan ketidakpastian bagi syarikat-syarikat semikonduktor yang beroperasi di Malaysia, terutamanya firma AS yang telah lama menggunakan negara ini sebagai asas yang dipercayai untuk bekalan dan eksport global ke pasaran AS.
Penubuhan operasi di luar negara adalah kompleks dan berintensifkan modal, ini amat memerlukan masa, kepakaran serta sokongan institusi yang berterusan.
Oleh itu, langkah-langkah sokongan ini adalah penting bagi membantu pengeluar Malaysia bertindak balas dengan berkesan dalam mengalihkan dinamik perdagangan global tanpa dipaksa untuk memindahkan operasi teras mereka.
Dengan sokongan yang betul, FMM berkata syarikat-syarikat yang terlibat dapat mengekalkan dan mengembangkan aktiviti bernilai tinggi di Malaysia, pada masa yang sama, berkembang secara strategik.
Ia juga mengesahkan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan termasuk rakan kongsi antarabangsa bagi menjamin kedudukan Malaysia sebagai hab yang kompetitif dan boleh dipercayai dalam ekosistem pembuatan serta semikonduktor global agar mampu dikekalkan dan terus mengukuh.
Malaysia diiktiraf secara global sebagai hab utama untuk pemasangan semikonduktor, pembungkusan, dan ujian, menyumbang kira-kira 13 peratus daripada output semikonduktor bahagian belakang global.
Semikonduktor sebelum ini dikecualikan daripada tarif timbal balik AS, dan peralihan dasar ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pengeluar, yang kebanyakannya mencari penjelasan segera mengenai sama ada operasi mereka di Malaysia akan berada dalam skop langkah baharu itu.
-- BERNAMA