BERITA TERKINI   Malaysia mengalu-alukan kehadiran pemimpin, rakan dialog termasuk Presiden AS dan China pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 - PM Anwar  | Pendirian dan visi jauh para pengasas ASEAN bolehkan gagasan ini mampu depani cabaran pertembungan geopolitik -- PM Anwar  | Sambutan 58 tahun ASEAN adalah penghargaan bersama atas kemajuan yang telah dicapai, disertai rasa syukur dan tekad untuk terus maju -- PM Anwar | 

MRL, CCCC Meterai SA7, Lengkapkan ECRL Ke Northport, Westports

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memuktamadkan Perjanjian Tambahan 7 (SA7) dengan kontraktor Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi sambungan dari stesen terakhir di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang ke Westports dan Northport (Seksyen D) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata syarikat baru sahaja menandatangani SA7 antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), menandakan projek Seksyen D akan dilaksanakan oleh CCCC sebagai  kontraktor utama untuk menyiapkan projek berkenaan.

"Ini tentunya akan (ada) pengumuman mengenai perkembangan selanjutnya dalam masa terdekat berkaitan perkara ini," katanya kepada pemberita pada majlis penyempurnaan Ekosistem Kewangan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) 360 Darjah RHB-MRL di sini hari ini.

Darwis berkata SA7 adalah jajaran dari Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Northport dan Westports sepanjang 25 kilometer.

"Ia akan melibatkan pembinaan landasan meter dan landasan standard secara bersekali di laluan berkenaan.

"Kita ada landasan meter sedia ada di bawah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan landasan standard akan dibina sepenuhnya, maksudnya bersebelahan antara landasan meter dan landasan standard untuk sampai ke Northport dan Westports,” katanya.

Darwis berkata pembinaan Seksyen D penting untuk melengkapkan keseluruhan jaringan jajaran daripada Kota Bharu, Kelantan sehingga ke Pelabuhan Klang.

"Kita tidak hanya berhenti di Jalan Kastam tetapi sampai ke dua pelabuhan (Northport dan Westports). Hasrat kita untuk memastikan supaya kesalinghubungan jambatan darat antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang itu akan dimeterai," katanya.

Beliau berkata SA7 adalah sebahagian daripada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang ditandatangani pada November 2016.

Perjanjian tambahan itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada April.

Sementara itu, Pengerusi RHB Bank Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata MRL adalah syarikat berkaitan kerajaan pertama di Malaysia yang membangunkan pelan hala tuju peralihan rantaian nilai kewangan mampan, dengan hasil daripada terbitan sukuk hijau ditempatkan dalam deposit RHB ESG sementara menunggu pembayaran bagi pembinaan ECRL.

"Ini bagi memastikan dana terbiar bukan sahaja dipelihara, malah turut menyumbang kepada penyahkarbonan negara melalui penggunaan modal, dalam satu model kewangan mampan kitaran yang telus untuk menyokong matlamat iklim yang lebih menyeluruh," katanya.

Beliau berkata deposit RHB ESG akan diperuntukkan kepada projek yang sejajar dengan keutamaan negara seperti tenaga boleh baharu, pengangkutan bersih, infrastruktur rendah karbon dan rangkuman sosial.

"Semua aktiviti pembiayaan adalah berpandukan Garis Panduan Aktiviti Perniagaan ESG RHB, Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip Bank Negara Malaysia serta Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan," katanya.

Pada awal tahun ini, MRL berjaya menerbitkan Sukuk SDG hijau sekali gus mencatat rekod kebangsaan dengan mencapai spread kredit terendah bagi terbitan infrastruktur yang dijamin kerajaan di Malaysia, menandakan keyakinan kukuh pelabur terhadap MRL dan projek ECRL.

-- BERNAMA