BERITA TERKINI   Presiden Trump dan Rubio gesa kerajaan Kemboja dan Thailand mematuhi sepenuhnya komitmen mereka serta berusaha capai keamanan yang berkekalan - Tommy Pigott | Kami memuji Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinannya dalam menganjurkan mesyuarat khas bersama Amerika Syarikat pada 28 Julai - Tommy Pigott | Amerika Syarikat alu-alukan Mesyuarat GBC di Kuala Lumpur sebagai langkah pertama ke arah pelaksanaan gencatan senjata Kemboja-Thailand - Tommy Pigott | Visi ASEAN 2045 merangka matlamat rantau yang berdaya tahan, berdaya cipta dan berpaksikan rakyat - PM Anwar | Kemasukan Timor-Leste akan melengkapkan perwakilan ASEAN di seluruh Asia Tenggara - PM Anwar | 

GX Bank Tingkat Peranan Kepada Segmen Kurang Terima Perkhidmatan, Peniaga Mikro

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- GX Bank Bhd (GX Bank) mengukuhkan peranannya dalam memajukan rangkuman kewangannya, dengan kira-kira 60 peratus daripada asas pelanggannya terdiri daripada segmen yang kurang menerima perkhidmatan, termasuk individu daripada kumpulan pendapatan 40 peratus terbawah (B40) dan 10 peratus daripada ekonomi gig.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kaushik Chowdhury berkata angka itu mencerminkan fokus utama bank terhadap komuniti yang kurang menerima perkhidmatan, iaitu jumlah yang dijangka meningkat apabila bank itu memasuki fasa seterusnya, yang tertumpu kepada pembiayaan ekonomi yang produktif.

Jaringan GX Bank menjangkau hampir semua negeri, dengan tarikan kukuh di Malaysia Timur - Sabah dan Sarawak yang mewakili pangkalan pelanggan kedua terbesarnya - dan keadaan geografi yang luas bagi negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.

“Kami tidak berpuas hati dengan angka 60 peratus itu, tetapi ia merupakan satu petunjuk jelas mengenai kepada siapa kami berkhidmat, dan angka ini dijangka akan meningkat, terutamanya apabila kami beralih ke fasa seterusnya yang memberi tumpuan kepada pembiayaan ekonomi yang produktif,” kata Kaushik kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini. 

Selain itu, beliau berkata GX Bank mempunyai kedudukan yang unik untuk memberi perkhidmatan kepada ekonomi gig, terutamanya pemandu dan peniaga dalam ekosistem Grab, hasil data ekosistem sedia ada yang menyediakan gambaran jelas mengenai tingkah laku dan keperluan kewangan pengguna.

Katanya, ketika ini bank memberi tumpuan untuk beralih daripada penggunaan jangka pendek dan kredit pantas kepada pinjaman yang lebih mampan dan produktif.

“Tumpuan kami pada masa akan datang ialah beralih daripada menawarkan penggunaan dan kredit pantas kepada menyediakan pembiayaan produktif dari segi ekonomi, yang memenuhi keperluan kewangan sebenar pengguna. Ia bukan hanya memberi manfaat kepada pelanggan kami tetapi juga menyumbang kepada kemampanan jangka panjang bank.

“Bank ditubuhkan untuk kekal selama berabad-abad, bukan hanya berdekad-dekad - dan untuk berbuat demikian, kami mesti mewujudkan model perniagaan yang mampan yang memastikan kami boleh terus berkhidmat dalam segmen ini,” katanya.

Mengulas mengenai fasa seterusnya, GX Bank kini berada dalam peringkat beta untuk melancarkan perkhidmatan pembiayaan bagi peniaga mikro, bermula dengan pemilik tunggal dan peniaga dalam ekosistem Grab menerusi program beta tertutup.

Kaushik berkata inisiatif itu akan bermula dengan pemilik tunggal dan pemilik perniagaan kecil, dengan maklumat yang diperoleh ketika fasa beta akan digunakan untuk memperhalusi tawaran bank sebelum ia dipertingkatkan lagi.

-- BERNAMA