BERITA TERKINI   AirAsia mengekalkan faktor muatan yang baik sebanyak 83 peratus antara Januari dan Mei lepas - Bo Lingam | AirAsia telah menurunkan tambang sebanyak lima peratus pada 15 Jun susulan penurunan harga bahan api - Bo Lingam | AirAsia menjangka menurunkan tambang penerbangan secara berperingkat susulan penurunan harga bahan api pesawat baru-baru ini - Bo Lingam | Hamzah kembali memegang jawatan Ketua Pembangkang bermula 18 Jun - Speaker Dewan Rakyat | 

Anwar Terima Kunjungan Hormat Pengerusi Mitsubishi UFJ Financial Group

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Mitsubishi UFJ Financial Group (MUFG) yang diketuai pengerusinya Kanetsugu Mike di Putrajaya.

Semasa pertemuan tersebut, Anwar menekankan keutamaan Kerajaan MADANI untuk memacu pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya dalam teknologi bernilai tambah, kecerdasan buatan (AI), dan tenaga hijau.

“Dengan dasar ekonomi terbuka dan hubungan erat Malaysia-Jepun yang telah lama terjalin, kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem pelaburan yang kondusif,” kata beliau menerusi hantaran di platform X hari ini. 

MUFG merupakan firma kewangan global terkemuka yang telah bertapak di Malaysia sejak 1957, memainkan peranan penting dalam menggalakkan kemasukan pelaburan syarikat Jepun, khususnya dalam sektor pembuatan dan perindustrian.

“Saya menghargai komitmen MUFG yang baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempercepat pelaburan dalam sektor strategik yang telah dikenal pasti,” kata Anwar. 

-- BERNAMA