BERITA TERKINI   Qari dan qariah Malaysia dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran bagi kategori masing-masing pada MTHQA ke-65 | Liga Super: Imigresen 0-3 KL City | Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada kerajaan, rakyat Singapura sempena ulang tahun kemerdekaan ke-60 hari iniĀ  | 

Qube Sambut Ulang Tahun Ke 20 Dengan Kemenangan 10 Anugerah Di MBEA 2025

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, syarikat acara perniagaan tempatan terkemuka yang sedang menyambut ulang tahun ke 20 sejak ditubuhkan pada 2005, telah menggondol 10 anugerah berprestij di Anugerah Perniagaan Malaysia (MBEA) 2025 yang diadakan baru-baru ini.

MBEA 2025 dianjurkan oleh Persatuan Penganjur serta Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS).

Qube melalui satu kenyataan berkata ia telah memenangi lima Anugerah Kecemerlangan dan lima Anugerah Merit, daripada 10 kategori yang disenarai pendek.

Antara Anugerah Kecemerlangan yang dimenanginya adalah Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Pameran: yang melibatkan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2024 dan Anugerah Kecemerlangan Pameran Perdagangan untuk acara yang berkeluasan antara 10,001 meter persegi hingga 20,000 meter persegi iaitu BuildXpo Malaysia 2024.

Qube juga memenangi Anugerah Kecemerlangan Reka Bentuk Ruang untuk gerai di bawah 72 meter persegi yang diadakan di luar negara seperti Pavilion MyCEB di IMEX Frankfurt; Anugerah Kecemerlangan Reka Bentuk Ruang untuk gerai dek setingkat berkeluasan 73 meter persegi dan ke atas seperti Pavilion Proton di KLIMS 2024 serta Anugerah Kecemerlangan Reka Bentuk Pentas yang membabitkan rekaannya ke atas Acer APAC Predator League 2025. 

 Pengerusi Eksekutif Qube Richard Teo berkata pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi pasukannya, kepercayaan pelanggan termasuk kekuatan perkongsian yang telah mereka bina.

“Platform-platform ini menceritakan banyak mengenai apa yang kami mampu buat. Ianya telah meletakkan jenama Malaysia di seluruh dunia, mewujudkan peluang baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain menarik perniagaan serta pelaburan jangka panjang memasuki negara ini,” katanya. 

Beliau turut menekankan bahawa acara perniagaan bukan sekadar untuk menarik orang tetapi ia mampu memacu inovasi, merangsang aktiviti ekonomi, menyokong pekerjaan dan mengukuhkan rantaian bekalan.

“Sejak dua dekad lepas, Qube telah berkembang dari sebuah agensi reka bentuk butik sehingga menjadi tenaga penggerak untuk kecemerlangan kreatif dalam pameran serta acara.

“Syarikat ini telah menampilkan pavilion-pavilion Malaysia di pameran global termasuk Ekspo Astana 2017 dan Ekspo Dubai 2020, yang menarik jutaan pelawat,” katanya.

Melihat ke hadapan, Qube berkata ia akan terus memainkan peranan dalam beberapa platform utama yang akan datang seperti MIHAS 2025, dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia; SME Venture@ASEAN 2025, dengan SME Corporation Malaysia dan ICW & BuildXPO 2025, bersama-sama dengan CIDB Malaysia.

Di samping itu, Qube akan menganjurkan acara terpentingnya, WE2025: Future in Motion, inisiatif perdana bagi memperkasakan wanita dalam perniagaan, kepimpinan dan inovasi mulai 25 hingga 27 Nov 2025, di bawah tema “Women in Trade Investment Leadership”.

WE2025 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Pembangunan Wanita, yang menampilkan empat tonggak bersepadu iaitu persidangan kepimpinan; ekspo perdagangan dan pelaburan berskala besar; padanan perniagaan serta beberapa acara sampingan yang utama.

Disasarkan untuk usahawan wanita, pemimpin korporat, PKS, pemula niaga, belia, pemboleh ekosistem dan industri inklusif dari seluruh ASEAN serta seterusnya, WE2025 dijangka menarik 10,000 pelawat, 1,000 perwakilan selain 500 gerai pameran dan mampu menjana peluang perdagangan serta pelaburan bernilai sehingga RM100 juta. 

-- BERNAMA