APEC: Keselamatan Wanita Kunci Pacu Pertumbuhan Inklusif

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Bagi ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk merealisasikan pertumbuhan inklusif, keselamatan wanita perlu dianggap sebagai keutamaan ekonomi, termasuk menghapuskan struktur yang menjadi punca kepada keganasan berterusan.

APEC menerusi satu kenyataan hari ini berkata, keganasan terhadap wanita bukan isu terpencil dan merupakan penghalang sistemik kepada pertumbuhan, saling berkaitan dengan ketidaksamaan gaji, jurang kepimpinan dan kurang inovasi.

"Ia menghalang ekonomi untuk memanfaatkan separuh daripada kumpulan bakat mereka, yang seterusnya membawa kepada kerugian produktiviti dan kos ekonomi yang ketara. Malah, apabila separuh daripada populasi tidak selamat, tidak ada jaminan seseorang itu benar-benar dilindungi.

“Walaupun pendidikan, akses kepada kewangan dan rangkuman digital mencatatkan peningkatan ketara, keganasan terhadap wanita, di dalam dan luar talian, terus mengehadkan potensi ekonomi, produktiviti dan penyertaan mereka dalam ekonomi,” katanya.

APEC berkata keganasan berpunca daripada norma sosial dan selalunya diburukkan lagi akibat daripada penguatkuasaan undang-undang yang lemah.

“Ia mengehadkan keupayaan wanita untuk memimpin, membuat perolehan dan berinovasi serta menghalang pertumbuhan inklusif untuk semua orang. Wanita yang berdepan keganasan juga biasanya terlepas peluang kerja, tidak dapat melakukan kerja dengan baik atau terpaksa meninggalkan bidang kerja sepenuhnya.

“Mereka juga kemungkinan besar tidak berupaya memulakan perniagaan, bercakap di forum awam, terlibat dalam peranan kepimpinan atau meneruskan kerjaya dalam bidang teknikal, yang seterusnya membawa kepada kehilangan besar bakat dan produktiviti,” katanya.

Rantau APEC telah meletakkan asas penting, terutamanya melalui Pelan Hala Tuju La Serena untuk Wanita dan Pertumbuhan Inklusif, yang kekal sebagai asas kepada strategi inklusi jantina APEC.

Antara langkah yang diketengahkan oleh APEC ialah keperluan untuk mengukuhkan perlindungan undang-undang dengan menguatkuasakan undang-undang terhadap semua bentuk keganasan, termasuk gangguan dalam talian, dan merapatkan jurang undang-undang dalam diskriminasi pekerjaan dan keselamatan tempat kerja.

"Pelaburan dalam infrastruktur penjagaan juga penting, terutamanya untuk mengurangkan beban wanita yang tidak dibayar dengan meluaskan kepada penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga emas dan jaringan keselamatan sosial.

"(Langkah lain termasuk) membina perancangan kepimpinan dengan meningkatkan program bimbingan, rangkaian dan latihan yang mempersiapkan wanita kepada peranan membuat keputusan," katanya.

APEC juga mencadangkan usaha merapatkan jurang data melalui pengumpulan data terpencar tentang keganasan, kerja tanpa gaji, dan penyertaan wanita dalam sains, kejuruteraan teknologi dan matematik (STEM dan keusahawanan untuk memacu penggubalan dasar berasaskan bukti.

Selain itu, ia juga menekankan kepentingan memerangi norma berbahaya dengan melibatkan komuniti, pendidik dan media untuk mengubah semula sikap sosial yang menormalkan keganasan berasaskan jantina dan mengehadkan potensi wanita.

-- BERNAMA