BERITA TERKINI   CelcomDigi lantik Timbalan CEO Albern Murty sebagai Pemangku CEO mulai 1 Sept, 2025 selepas Datuk Idham Nawawi mengakhiri perkhidmatan pada 31 Ogos | Lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas tuduhan guna perkataan mencela terhadap Zara Qairina | Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan 2025 diumum esok - KPM | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina akan bentang cadangan penubuhan Tribunal Anti-Buli dalam mesyuarat Kabinet akan datang - PM Anwar | 

Malaysia Berjaya Tarik Pelaburan AI Diluluskan RM3.29 Bilion, Sasar Sumbangan KDNK 25.5 Peratus

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Malaysia berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM3.29 bilion bagi sektor kecerdasan buatan (AI) di bawah inisiatif Malaysia Digital bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini yang berpotensi mewujudkan kira-kira 6,920 peluang pekerjaan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pencapaian itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi Malaysia sebagai hab AI serantau, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam ekosistem digital global.

Sumbangan AI dan teknologi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 adalah 23.5 peratus dan kerajaan menyasarkan peningkatannya kepada 25.5 peratus menjelang akhir 2025.

“Saya yakin sasaran ini boleh dicapai berdasarkan perkembangan positif dalam pelaburan, pembangunan bakat serta pelaksanaan pelbagai kes penggunaan AI merentasi sektor,” katanya di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai kemajuan dicapai oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) setakat ini serta sumbangan terhadap pembangunan AI.

Menjelaskan selanjutnya, Gobind berkata pencapaian ini juga selaras dengan usaha kerajaan membangunkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 yang berteraskan data, bakat dan infrastruktur bagi memastikan manfaat teknologi dapat dimaksimumkan untuk ekonomi dan rakyat.

-- BERNAMA