BERITA TERKINI   Liga Super: Terengganu 2-2 PDRM FC | Kes kematian Zara Qairina: UMNO sokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara supaya inkues penuh dijalankan - Asyraf Wajdi | Liga Super: KL City 1-1 Sabah | Liga Super: Melaka 1-1 Penang | 

FBM KLCI Ditutup Pada Paras Tertinggi Dalam Tempoh Empat Bulan

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan kenaikan selama tujuh sesi berturut-turut dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan.

Kenaikan itu dipacu oleh data inflasi Amerika Syarikat (AS) bagi Julai yang sedikit lebih rendah daripada unjuran iaitu pada kadar 2.7 peratus, sekali gus meningkatkan harapan terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada September.

Pada 5 petang, FBM KLCI melonjak 18.70 mata atau 1.19 peratus untuk ditutup pada paras 1,586.60 daripada 1,567.90 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.17 mata lebih kukuh pada 1,569.07 yang juga merupakan paras terendah hariannya serta mencatat paras tertinggi 1,590.61 pada sesi dagangan pagi.

Di keseluruhan pasaran berada dalam keadaan positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 686 berbanding 390 manakala 491 kaunter tidak berubah, 955 kaunter tidak diniagakan dan 18 kaunter lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.71 bilion unit bernilai RM3.07 bilion daripada 2.53 bilion unit bernilai RM2.15 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata prospek pelonggaran dasar monetari AS memberi kesan secara langsung terhadap prestasi sektor di Bursa Malaysia.

“Indeks Teknologi FBM dan Indeks Perkhidmatan Kewangan FBM mendahului pasaran secara keseluruhan, masing-masing meningkat lebih daripada satu peratus.

“Dalam kalangan kaunter FBM KLCI, saham telekomunikasi merupakan penyumbang kenaikan tertinggi berikutan mendapat manfaat daripada peralihan pelabur ke arah saham defensif berdividen tinggi di tengah-tengah pengukuhan ringgit dan penyusutan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kenaikan harga komoditi turut memberikan sokongan tambahan kepada kaunter minyak sawit dan tenaga, sekali gus menyokong sentimen peningkatan pasaran.

Sementara itu, sentimen pasaran turut disokong oleh prestasi positif pasaran serantau serta ketegangan perdagangan yang semakin reda susulan lanjutan penangguhan selama 90 hari terhadap kenaikan tarif ke atas barangan dari China.

“Pelabur kini menumpukan perhatian kepada data indeks harga pengeluar dan jualan runcit AS yang akan diumumkan lewat minggu ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 15 sen kepada RM9.86, Public Bank naik 4 sen kepada RM4.44, Tenaga Nasional melonjak 22 sen kepada RM13.80, CIMB bertambah 18 sen kepada RM7.19 manakala IHH Healthcare berkembang 9 sen kepada RM6.91.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Sersol berkembang 1.0 sen kepada 2.5 sen, Telekom Malaysia melonjak 23 sen kepada RM7.23, Classita turun setengah sen kepada 9.0 sen, Tanco susut 2.0 sen kepada 70.5 sen manakala Pharmaniaga kekal pada 18.5 sen.

Di pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 128.68 mata kepada 11,804.18, Indeks FBMT 100 naik 132.83 mata kepada 11,589.01, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 103.17 mata kepada 11,768.55, Indeks FBM ACE naik 16.47 mata kepada 4,654.61 manakala Indeks FBM 70 melonjak 175.72 mata kepada 16,776.36.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkembang 259.25 mata kepada 18,073.90, Indeks Perladangan meningkat 66.18 mata kepada 7,597.99 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.55 mata kepada 158.51 dan Indeks Tenaga susut 0.74 mata kepada 737.64.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 1.57 bilion unit bernilai RM2.85 bilion daripada 1.56 bilion unit bernilai RM1.95 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran naik kepada 771.34 juta unit bernilai RM103.11 juta daripada 707.18 juta unit bernilai RM92.44 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkembang kepada 360.56 juta unit bernilai RM119.44 juta daripada 251.24 juta unit bernilai RM106.41 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 330.37 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (234.19 juta), pembinaan (88.22 juta), teknologi (233.99 juta), perkhidmatan kewangan (96.42 juta), hartanah (180.19 juta), perladangan (34.06 juta), REIT (37.17 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (90.22 juta), penjagaan kesihatan (112.46 juta), telekomunikasi dan media (55.90 juta), pengangkutan dan logistik (38.54 juta), utiliti (41.39 juta) serta amanah perniagaan (52,100).

-- BERNAMA