Keputusan Dan Penilaian Semula Aset Huluan Diserah Sepenuhnya Kepada Petronas - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Sebarang keputusan dan penilaian semula aset huluan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) diserahkan sepenuhnya kepada syarikat minyak nasional itu tanpa campur tangan politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Petronas merupakan satu badan korporat yang telah diiktiraf antara syarikat terbaik di dunia dan perspektif jangka panjang harus diambil kira dengan melihat kepada ketidaktentuan dalam pasaran minyak dan gas global.

“Petronas harus mengambil kira portfolio asetnya. Kita melihat (Petronas mempunyai aset) di beberapa negara seperti di Brazil yang mempunyai tujuh blok huluan, tiga blok pembangunan dan empat blok penerokaan.

“Sama seperti di Kanada. Operasi di Kanada merupakan pasaran yang strategik kerana kekuatan rizab gas asli itu besar kira-kira 50 trilion kaki padu (TCF). Ia telah mula dieksport bersama dengan beberapa syarikat gergasi yang lain,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin mengetahui rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset Petronas dan strategi syarikat berkenaan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global melibatkan penjualan aset seperti di Kanada dan Brazil.  

Anwar berkata penilaian semula aset huluan sepertimana berlaku di Brazil adalah penting dilakukan secara berterusan.

“Mengikut pengalaman kita, kita serahkan kebijaksanaan dan pertimbangan komersial itu dan pelaburan kepada Petronas tanpa campur tangan politik. Mereka hanya melaporkan (kepada kerajaan),” kata beliau.

-- BERNAMA